KERAJAAN Korea Selatan hari ini mengumumkan pengharaman jualan kopi dalam apa jua bentuk di sekolah.
Pada 2013, negara itu mengharamkan penjualan kopi kepada pelajar di sekolah, namun mesin layan diri yang menjual minuman tersebut masih tersedia untuk guru, dan ada sesetengah pelajar yang mengambil kesempatan dan membeli kopi daripada mesin tersebut.
Kini kerajaan mahu mengharamkan terus penjualan kopi di sekolah, kata jurucakap Kementerian Makanan dan Keselamatan Ubat-Ubatan, sambil memberi amaran yang ramai pelajar meminum kopi untuk berjaga pada waktu malam bagi menghabiskan ulang kaji dan membuat persediaan untuk peperiksaan.
Menerusi langkah tersebut, yang akan berkuat kuasa bermula 14 September, penjualan air kopi akan diharamkan sepenuhnya di sekolah rendah, menengah dan tinggi.
“Kopi tidak akan dijual di kafeteria dan mesin layan diri yang diletakkan di sekolah-sekolah,” kata jurucakap berkenaan kepada AFP.
Akhbar Korea Selatan Chosun Ilbo berkata pelajar cenderung meminum “minuman tenaga” dan kopi yang mengandungi susu untuk berjaga malam semasa musim peperiksaan.
Kementerian itu berkata pengambilan kopi secara berlebihan akan menyebabkan loya, degupan jantung tidak teratur dan gangguan tidur.
Korea Selatan adalah pengeluar kopi ketujuh terbesar dunia, menurut Persatuan Perdagangan Antarabangsa Korea, dengan nilai import AS$700 juta pada 2017.
Secara purata, rakyat Korea Selatan meminum 512 cawan kopi pada tahun lalu. – AFP, 31 Ogos, 2018.
Komen