MCA harus hentikan retorik perkauman


WALAUPUN MCA telah mencatatkan keputusan pilihan raya umum yang paling buruk dalam sejarahnya, ia masih belum sedar diri. Parti kaum Cina ini merasakan ia mampu mendapatkan kembali sokongan pengundi Cina dengan terus memainkan sentimen perkauman, terutamanya untuk melawan DAP yang merupakan parti pelbagai kaum.

Mungkin ada sesetengah pemimpin MCA selesa sekadar menjadi wira untuk 20% penduduk negara tanpa bekerjasama untuk matlamat yang sama demi semua rakyat pelbagai kaum di negara ini. Mungkin mereka ini masih dibuai mimpi kleptokrasi Malaysia Lama.

Sebagai peringatan, MCA hampir musnah dalam PRU yang lalu. Ia hanya menang satu kerusi parlimen dan dua kerusi dewan undangan negeri. Pimpinan harus mengingati bahawa kerusi-kerusi tersebut dimenangi dengan majoriti undi yang sangat tipis, dan dengan undi penyokong UMNO dan bukannya pengundi Cina.

Mengapa pengundi Cina di Malaysia menolak MCA? Kerana pengundi tidak mahu lagi menerima politik perkauman UMNO-Barisan Nasional di mana MCA terlibat di dalam gabungan kaum tersebut; kerana mereka menolak rejim korup dan kleptokratik Najib Razak; dan kerana mereka idamkan Malaysia Baharu.

Lau Chin Kok, Timbalan pengerusi biro publisiti MCA, dalam kenyataan akhbarnya semalam memetik dan mempersoalkan pendirian Senator Liew Chin Tong bahawa DAP adalah parti berbilang kaum dengan memburukkan DAP kerana DAP enggan menjadi MCA yang baru.

Beliau mahu DAP mengutuk cadangan Kongres Ekonomi Bumiputera yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dan beliau mahu DAP menganjurkan pula Kongres Ekonomi Kaum Cina. Ini bermakna beliau mahu api dilawan dengan api tanpa mempedulikan sebarang implikasi dengan kenyataan sebegini yang tidak bertanggungjawab.

Adalah menyedihkan beliau tidak memahami realiti ekonomi semasa, khususnya tentang keperluan mereka yang memerlukan. Beliau juga tidak faham bahawa kerajaan Pakatan Harapan sedang dalam proses mengkaji banyak perkara demi kepentingan semua rakyat Malaysia. Sesetengah kajian itu mungkin pedih untuk dilaksanakan tetapi ia amat perlu bagi feadah kumpulan terbesar, iaitu golongan marhaen, dan bukannya minoriti elit.

Setelah Merdeka selama 61 tahun, nampaknya MCA masih mahu meneruskan politik yang berasaskan perkauman. Ia masih gagal memahami bahawa majoriti pengundi telah menolak politik sedemikian.

DAP merupakan sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia. Ia adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan yang mahu setiap rakyat Malaysia berkongsi hasil kejayaan ekonomi. Cuma pada waktu ini, akibat pentadbiran tidak telus rejim yang lalu, kita perlu berusaha lebih keras untuk memulihkan ekonomi negara. Ia adalah usaha setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

MCA dan parti-parti komponen BN yang lain serta bekas-bekas komponen BN harus menerima realiti politik ini. Selain menjauhkan diri daripada kerajaan kleptokratik yang dahulu, mereka juga perlu mendakap cita-cita Malaysia Baharu – masa depan Malaysia yang dikongsi bersama dan dibina bersama. – 31 Ogos, 2018.

Muhammad Shakir Ameer merupakan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen