Putrajaya lepas 2 rakyat Korea Utara, mayat Jong-nam demi 9 rakyat


Lionel Morais

Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang, Mohd Nur Azrin Md Zin (tengah) bercakap pada sidang media selepas sampai dari Pyongyang bersama sembilan warga Malaysia di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, pagi tadi. – Gambar AFP, 31 Mac 2017.

IA adalah pertukaran klasik era perang dingin. Dua warga Korea Utara yang berkurung di kedutaan mereka Kuala Lumpur selama enam minggu lalu dilepaskan bersama mayat mangsa pembunuhan, Kim Jong-nam bagi kebebasan sembilan rakyat Malaysia di Pyongyang.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mengesahkan perjanjian itu, memberitahu The Malaysian Insight malam tadi “ia untuk mendapatkan pembebasan selamat bagi sembilan rakyat Malaysia untuk kembali ke tanah air, dan kami berjaya memperolehinya”.

Kedua-dua diplomat berkenaan dikehendaki polis untuk disoal dalam penyiasatan berhubung kejadian pembunuhan Jong-nam pada 13 Februari lalu.

Kedua-dua mereka, bagaimanapun, bersembunyi di dalam kedutaan di Damansara, berpegang kepada imuniti diplomatik.

Apandi memberitahu The Malaysian Insight, kedua-duanya bukan suspek dalam kes pembunuhan Jong Nam tetapi  diperlukan untuk “membantu siasatan”.

“Suspek utama, empat daripada mereka, meninggalkan negara ini sejak awal,” katanya, merujuk kepada empat ejen Korea Utara yang terbang ke Malaysia secara berasingan bermula akhir Januari tetapi meninggalkan negara pada hari yang sama, 13 Februari, beberapa jam Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

“Empat yang masih dikehendaki, dirakam CCTV di terminal yang memantau pelaksanaan pembunuhan Jong Nam oleh kedua-dua wanita terbabit.”

Apandi berkata pelepasan dua rakyat Korea Utara itu tidak  menjejaskan siasatan lanjut polis atau mempunyai kesan buruk kepada perbicaraan dua wanita asing yang dituduh membunuh Jong-nam.

“Kedua-duanya adalah diplomat, mereka mempunyai kekebalan diplomatik. Jadi pada dasarnya anda tidak boleh menyentuh mereka kecuali Korea Utara bersedia mengetepikan kekebalan itu.

Diplomat Korea Utara dan mayat abang berlainan ibu kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tengah hari semalam bagi penerbangan ke Beijing, dalam perjalanan ke Pyongyang.

“Tetapi kita mengambil keterangan daripada dua rakyat Korea Utara lain yang bukan diplomat. Polis sudah selesai dengan mereka.”

Bagi perbicaraan dua wanita—warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 29—Apandi berkata kes terhadap mereka akan berdasarkan apa yang dirakam CCTV di terminal lapangan terbang.

“Motif tidak semestinya dibuktikan, anda melakukan perbuatan itu dan menyebabkan kematian, ia sudah cukup.”

Mereka dilihat menekup muka Jong-nam dengan sehelai kain, yang kemudiannya didedahkan mengandungi ejen saraf VX. Jong-nam dijadualkan mengambil penerbangan ke Macau ketika diserang.

Pembunuhan Jong-nam menyebabkan perbalahan diplomatik antara Putrajaya dan Pyongyang selepas duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, menuduh Malaysia cuba memburuk-burukkan rejimnya.

Beliau menegaskan Jong-nam meninggal dunia akibat serangan jantung dan jasad beliau hendaklah diserahkan kepada Pyongyang.

Malaysia mengisytiharkan Kang Chol persona non grata manakala Pyongyang membalas dengan membuang duta besar Malaysia ke Korea Utara.

Perselisihan dengan Pyongyang berlanjutan apabila bertindak menghalang sembilan rakyat Malaysia termasuk tiga diplomat, di Korea Utara daripada meninggalkan negara itu dan Putrajaya bertindak balas dengan tindakan sama sehingga perkara itu selesai semalam.

Perdana Menteri Najib Razak dalam satu kenyataan malam tadi mengumumkan krisis diplomatik selesai selepas Korea Utara membenarkan sembilan rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.

Najib juga berkata berikutan perkembangan ini, Malaysia kini membenarkan rakyat Korea Utara meninggalkan negara.

Apandi bagaimanapun, menegaskan keadaan ini boleh dielakkan jika Putrajaya mengarahkan semua kakitangan kedutaannya di Pyongyang kembali ke Malaysia bersamadutanya Mohamad Nizan Mohamad, yang pulang pada 22 Februari.

“Kita sepatutnya membawa pulang semua orang sebelum mengisytiharkan sesiapa persona non grata. Kalaulah kita bertindak lebih awal atau tegas, kita tidak akan berhadapan semua ini, mengetahui ketidaktentuan keadaan ini,” kata Apandi.

“Bagaimanapun ia adalah satu pengajaran, kita akan menjadi lebih bijak pada masa akan datang.”

Sembilan rakyat Malaysia tiba di KLIA pada pukul 5 pagi hari ini dan disambut ahli keluarga dan beberapa pegawai Wisma Putra. – 31 Mac 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen