ISS alami kebocoran akibat rempuhan meteorit kecil


Angkasawan NASA Drew Feustel dan Ricky Arnold memasang kamera berdefinisi tinggi di ISS pada 14 Jun lalu. Stesen angkasa itu mengalami kebocoran kecil akibat pelanggaran meteorit. – Gambar AFP, 30 Ogos, 2018.

KREW Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) hari ini membaiki kebocoran kecil yang dipercayai berpunca akibat pelanggaran meteorit kecil, kata ketua agensi angkasa Rusia.

Ketua Roscomos Dmitry Rogozin berkata kebocoran itu bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada krew dan ISS.

“Sejak semalam sehingga awal pagi hari ini, berlaku situasi pelik apabila tekanan dalam ISS menurun disebabkan kebocoran oksigen.

“Serpihan kecil turut ditemukan, dipercayai kerosakan yang tercetus dari luar ISS. Jurutera stesen itu percaya kerosakan itu berpunca akibat meteorit,” katanya.

Katanya, serpihan itu ditemukan di atas kapal angkasa Soyuz yang membawa angkasawan ke ISS pada Jun untuk misi selama enam bulan dan kini berlabuh di stesen itu.

Serpihan tersebut akan ditampal semula dari dalam stesen, tambahnya.

NASA turut mengesahkan masalah tersebut dan berkata berlaku kebocoran yang kini sedang dibaiki oleh krew ISS.

Enam angkasawan kini berada di ISS termasuk angkasawan NASA Drew Feustel, Ricky Arnold dan Serena Aunon, selain Alexander Gerst dari Agensi Angkasa Eropah dan dua angkasawan Rusia, Oleg Artemyev dan Sergei Prokopyev. – AFP, 30 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen