Agong batal dua majlis sempena Hari Keputeraan


Gan Pei Ling

Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah supaya membatalkan majlis rasmi dan jamuan pada sambutan Hari Keputeraan Agong pada 9 September, dibatalkan supaya wang yang diperuntukkan disumbangkan ke Tabung Harapan Malaysia.

 Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz menerusi satu kenyataan hari ini berkata lain-lain majlis yang dirancang untuk sambutan hari keputeraan itu akan diteruskan.

Dua majlis yang dibatalkan itu adalah Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri yang telah merancang acara-acara rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda bagi tahun 2018,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan kos yang mampu dijimatkan berdasarkan pembatalan dua majlis itu.

Ini merupakan kali kedua Agong mengeluarkan titah untuk membatalkan majlis rasmi bagi menjimatkan wang rakyat selepas kali pertama baginda membatalkan majlis rumah terbuka Aidilfitri di Istana Negara.

Sultan Muhammad secara sukarela membenarkan pemotongan 10% daripada gaji baginda dan bayaran elaun selepas barisan Kabinet baharu mengumumkan langkah yang sama pada Jun.

Putrajaya mewujudkan Tabung Harapan Malaysia pada Mei bagi meraih sumbangan rakyat Malaysia untuk membantu mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion.

Setakat pukul 3 petang hari ini, kutipan Tabung Harapan sudah mencecah RM179,947,434.22. 

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut mengumumkan bahawa kutipan tabung itu mungkin akan dihentikan pada bulan depan. – 30 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen