SEBUAH pejabat syarikat elektrik dan tiga kenderaan milik syarikat itu musnah selepas dibakar oleh enam lelaki berpakaian hitam yang bersenjata serta bertopeng dalam kejadian yang berlaku tengah malam tadi di daerah Kabang, Yala di selatan Thailand.
Ketua Polis daerah Kabang Kol Prayong Khotsaka berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah malam tadi (waktu tempatan).
“Enam lelaki berpakaian hitam, bertopeng dan bersenjata telah menahan kakitangan dan mengikat mereka di pokok getah sebelum bertindak membakar pejabat serta kenderaan milik syarikat,” katanya pada pemberita hari ini.
Penyerang turut melarikan sepucuk pistol milik pegawai syarikat elektrik itu.
Ketua Polis Bahagian ke-9 Lt Gen Ronnassin Phusara turut meninjau pejabat syarikat elektrik itu dan mengarahkan anggotanya menjejaki kumpulan penyerang itu.
Serangan turut dlaporkan di Pattani dan wilayah Weng semalam oleh kumpulan penyerang yang tidak dikenali. – Bernama, 30 Ogos, 2018.
Komen