.jpg)
ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera kepada semua rakyat Malaysia.
Buat ke sekian kalinya, kita menyambut Hari Kebangsaan. Secara rasminya, ia adalah Hari Kebangsaan kita kali yang ke 61 mengikut kiraan hari pengumuman kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka.
Banyak peristiwa yang telah dilalui oleh Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya Malaysia sejak mencapai kemerdekaan dari jajahan British kepada sebuah negara berdaulat dan bebas melakar halatujunya mengikut acuannya sendiri.
Cabaran yang dihadapi bukan sedikit. Sebagai sebuah negara yang baru merdeka, semuanya terpaksa dilakukan dari awal ataupun “starting from scratch.”
Ia bukan sesuatu yang mudah – hampir semua lapangan, pengalaman dan kepakaran dimiliki oleh pentadbir-pentadbir dan cerdik pandai penjajah dan amat sedikit dari kalangan anak bangsa yang mampu mengambil-alih sepenuhnya tanggungjawab itu.
Malahan sebahagian dari sistem pentadbiran dan perundangan yang ditinggalkan agak sukar untuk dilaksanakan kerana ianya direka bersesuaian dengan keperluan mereka sebagai penjajah. Penduduk tempatan tidak dapati sesuai untuk diterima sepenuhnya.
Namun kita boleh bersyukur jika dibanding dengan negara lain yang terpaksa hadapi keadaan yang lebih teruk kerana penjajah meninggalkan negara-negara itu dalam keadaan kucar-kacir, tanpa pentadbir yang terlatih atau perundangan yang sesuai untuk dilaksana.
Negara kita bernasib baik kerana kebijaksanaan kepimpinan negara pada masa itu yang berjaya mendapatkan kemerdekaan menerusi perundingan dan bukan pemberontakan dan tumpah darah. Dengan ini bekas penjajah dapat membantu di dalam keselamatan, pentadbiran dan perancangan masa depan negara.
Bantuan mereka bukanlah semata-mata kerana perasaan bertanggungjawab. Ia juga kerana keperluan kestabilan dan keamanan supaya pelaburan mereka dalam perladangan dan perlombongan terselamat.
Persekutuan Tanah Melayu ataupun Federation of Malaya yang menggantikan Malayan Union memang kaya dari segi hasil buminya. Kekayaan ini menyumbang banyak kepada kemajuan penjajah.
Namun demikian kita masih sanggup menerima pelaburan asing (FDI) termasuk dari negara penjajah juga. Tetapi mereka tidak dibenar campur tangan dalam politik dan pentadbiran negara. Kemerdekaan kita tetap dipelihara.
Kemudian Persekutuan Tanah Melayu beralih menjadi Malaysia. Kesanggupan orang Melayu bertolak ansur tidak dapat dipertikai atau ditandingi oleh sesiapa.
Walaupun Malaysia mempunyai lebih banyak bangsa dan suku kaum, tetapi ianya tetap aman dan stabil dan membangun dengan pesatnya sehingga dikenali sebagai Harimau Asia. Sesungguhnya kemampuan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 tetap ada.
Tetapi malangnya pertukaran pemerintahan membawa perubahan dasar dan pendekatan. Sistem demokrasi dan pentadbiran mengikut undang-undang digugur dan diganti dengan cara-cara lain. Hasilnya ialah Wawasan 2020 menjadi impian kosong.
Demikianlah kerosakan dan tekanan yang dirasai oleh rakyat sehingga mereka berasa seolah-olah mencapai kemerdekaan sekali lagi apabila PRU14 menghasilkan perubahan pemerintahan.
Seperti kita tidak suka kepada cara-cara pentadbiran dahulu begitu juga kita tidak boleh amalkan cara yang kita benci dahulu. Pentadbiran mengikut undang-undang memerlukan masa untuk dilaksanakan. Tetapi percayalah akhirnya penjenayah akan meraih hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan.
Sementara itu rakyat dan kerajaan perlu berganding bahu untuk memulih semula negara. Tugas kita memang berat. Tetapi tidak ada kuasa yang boleh menghalang gandingan rakyat dengan pemerintah.
Kita juga mampu. Kita juga boleh pulih semula negara kita Malaysia.
Kerajaan boleh tadbir dengan baik, berjimat cermat, berdisiplin dan mengawal nafsu. Ini sedang dilakukan. Walaupun masih sedikit tetapi pencapaian dalam mengurangkan hutang sudah ternampak. Kerosakan jentera pentadbiran telah dapat dipulih semula. InsyaAllah dengan tindakan yang sedang dan akan diambil, negara akan sihat semula.
Tetapi rakyat juga perlu memain peranan. Jikalau kerajaan tidak mampu hulur wang seperti dahulu, sebabnya ialah pembaziran seperti dahulu akan jejaskan proses pemulihan. Lagipun kerajaan ini tidak mencuri wang rakyat untuk diberi kepada rakyat sebahagian dari hasil pencurian.
Cara sebegitu bukanlah cara yang terbaik. Kerajaan ini akan wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan. Dengan cara ini pendapatan yang diperolehi lebih memuaskan. Ia adalah hasil titik peluh sendiri dan sudah tentu ia halal.
Untuk ini kerajaan akan memberi pelajaran dan latihan serta juga biasiswa. Kepakaran pekerja akan ditingkatkan supaya pendapatan akan bertambah.
Kita akan naikkan upah mengikut kemampuan. Tetapi yang perlu diingati ialah kenaikan upah tidak bermakna juga kos sara hidup naik bersama.
Untuk menentukan kenaikan upah menambah daya beli, produktiviti perlu ditingkatkan melalui cara pengurusan yang lebih cekap, peningkatan kecekapan pekerja, penggunaan mesin, robotik dan otomasi dan tambahan pelaburan oleh majikan. Kerajaan akan beri insentif dan hadiah kepada mereka yang berjaya meningkatkan produktiviti dengan kos yang terendah. Kenaikan harga hasil perusahaan hendaklah dikawal.
Tetapi sepanjang masa kerajaan akan bantu rakyat yang benar miskin atau kurang upaya. Mereka akan dibantu lebih baik dari BRIM umpamanya. Memberi RM500 atau RM1200 setahun tidak mencukupi untuk hidup sempurna. Ya. BRIM akan dikurangkan beransur-ansur tetapi yang daif dan tidak bekerja atau tidak dapat bekerja akan dibantu secara lebih bermakna.
Sesuai dengan pencapaian dan perasaan yang kita lalui dan kongsi bersama, tema Hari Kebangsaan tahun ini ialah “Sayangi Malaysiaku.”
Adalah diharap agar perasaan ini kekal dihati kita semua. Saya yakin, selagi perasaan ini ada bersama kita semua, apa saja perbezaan, percanggahan dan rasa sangsi yang timbul, Malaysia akan tetap utuh dan maju.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. Semoga harapan kita agar Malaysia terus maju, aman dan saksama akan kekal selamanya. Sayangilah Malaysiaku ini. – 30 Ogos, 2018.
*Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri Malaysia.
Komen