.jpg)
SAYA kesal dengan kenyataan kerajaan berhubung niat membatalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Yang lebih dikesalkan, alasan bahawa pemberian bantuan sedemikian akan menjadikan masyarakat kita manja dan terbiasa dengan bantuan.
Saya berpendapat BR1M harus dinilai secara adil dan objektif.
Pertama, inisiatif cetusan idea Bank Negara Malaysia yang kemudiannya diimplementasikan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2012 ini bertujuan membantu penerima yang memerlukan. Ia bukan sahaja dilakukan secara berkala, malah kelompok penerimanya adalah jelas dan bersasar.
Kedua, ia adalah inisiatif yang berfokus bagi mengurangkan impak pelan rasionalisasi subsidi kepada golongan B40.
Ketiga, ia merupakan satu pendekatan yang relevan kepada sistem kebajikan dan perlindungan sosial negara dalam konteks meningkatkan kuasa beli dan keupayaan melakukan perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah. Ini termasuklah berhadapan dengan kos pembelian barang-barang dapur, membayar bil bulanan dan perbelanjaan harian yang lain.
Para pakar termasuk ahli akademik dan pakar industri telah mengatakan bahawa kuasa membeli golongan berpendapatan rendah telah meningkat dengan perlaksanaan BR1M, terutamanya mereka yang tidak dapat menanggung beban kenaikan kos sara diri.
Dalam Malaysian Economic Monitor 2014, iaitu laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, ada dinyatakan manfaat dan matlamat BR1M telah sampai sehingga 90% golongan sasar dan berjaya mengurangkan tahap kemiskinan golongan tersebut.
Laporan Ekonomi 2016/2017 yang telah dikeluarkan Kementerian Kewangan mendapati bilangan isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah telah turun kepada 24.3% daripada 52.7% pada tahun 2009.
Segala kejayaan dan kebaikan inisiatif BR1M dapat dibuktikan dengan lebih jelas jika kita melihat kepada manifesto Pakatan Harapan sendiri yang berjanji untuk meneruskannya.
Malangnya, pendirian PH dalam isu BR1M ini tidak pernah konsisten dan sentiasa berubah-ubah.
Pada 17 Mei, perdana menteri telah mengumumkan BR1M akan diteruskan dengan penambahbaikan, iaitu hanya yang layak sahaja boleh menerimanya. Pada 26 Ogos, perdana menteri menyatakan pula hasrat untuk menghentikan BR1M secara berperingkat.
Kemudiannya, beliau memutuskan yang kerajaan tidak akan terus memberhentikan BR1M sebelum kajian komprehensif dilakukan terlebih dahulu.
Adalah lebih baik sekiranya kita memfokuskan kepada usaha penambahbaikan inisiatif ini. Misalnya:
(a) Pertama, memastikan senarai penerima disemak secara berkala bagi memastikan para penerima adalah mereka yang benar-benar layak,
(b) Kedua, BR1M boleh dipadankan dengan mana-mana program atau inisiatif intervensi lain seperti pembinaan kapasiti yang boleh membantu penerima untuk keluar daripada kemiskinan dengan lebih cepat dan berkesan, dan
(c) Ketiga, menilai semula jumlah yang diperuntukkan dan dipadakan bukan sahaja mengikut pendapatan, tetapi juga lokaliti atau tempat tinggal serta jumlah isi rumah.
Saya berpendirian, memperkasa BR1M adalah lebih baik dari menghapuskannya.
Bukankah antara perkara yang paling lantang diperjuangkan oleh PH sebelum ini adalah kos sara hidup?
Atau adakah mereka mengambil pendirian bahawa BR1M tidak mempunyai kebaikan, sedangkan mereka sendiri bersetuju untuk meneruskannya sebelum ini kerana kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh BR1M.
Saya harap perkara ini akan dipertimbangkan semula oleh pihak kerajaan, demi kebaikan mereka yang memerlukan. – 30 Ogos, 2018.
*Mohamed Khaled Nordin adalah naib presiden Umno dan pengerusi Majlis Dasar Awam Umno Malaysia.
Komen