NGO mahu harta RM2 bilion arwah Jamaluddin disiasat


Yasmin Ramlan

Walau bekas menteri Umno Allahyarham Jamaluddin Jarjis sudah meninggal dunia, kekayaannya berjumlah RM2.1 bilion perlu disiasat, kata NGO pemantau rasuah Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).

Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata, pihak berkuasa perlu meneliti bagaimana bekas mentreri Umno itu memperolehi kekayaan luar biasa tersebut.

“Adakah beliau menyalahgunakan jawatannya itu dan terlibat dalam mana-mana aktiviti rasuah atau penggelapan dana untuk kepentingan peribadi? Siasatan perlu dilakukan terhadap hartanya itu.

“Ia merupakan kekayaan luar biasa bagi seorang ahli Parlimen, bekas duta dan pengerusi GLC boleh mengumpul harta sebanyak itu.

“Kami perlukan jawapan untuk pendedahan sebegini,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika diminta mengulas mengenai kes tuntutan ke atas harta peninggalan bekas ahli Parlimen itu.

Ibu kepada Allahyarham Jamaluddin, Aminah Abdullah memfailkan permohonan sijil faraid semalam menuntut sebahagian daripada harta RM2.1 bilion tersebut.

Aminah membuat tuntutan tersebut mengikut undang-undang Islam yang menyatakan harta warisan tidak hanya boleh diwarisi isteri dan anak-anak.

Peguam yang mewakili Aminah, Kamar Ainiah Kamaruzzaman memberitahu The Malaysian Insight berkata harta berkenaan dikumpul oleh anaknya itu sejak arwah mula bekerja.

“Bila harta diperolehi tak relevan. Yang penting sewaktu kematian, apakah harta-harta arwah yang beliau miliki secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Kamar Ainiah semalam dilaporkan berkata beberapa percubaan dibuat untuk menyelesaikan perkara itu sebelum ini tetapi tidak berjaya.

Anak guamnya antara lainnya, menyenaraikan 22 hartanah di Pahang, Kuala Lumpur, 21 akaun bank mengandungi lebih RM15 juta dan juga hartanah di Amerika Syarikat dan Mekah.

Aminah mempersoal bagaimana anaknya memberikan beberapa harta, termasuk 19 syarikat, serta lot tanah yang dibeli di Malaysia dan luar negara kepada anak-anaknya.

Di bawah undang-undang syariah, ibu mendapat satu perenam aset harta pusaka, isteri mendapat satu perlapan dan selebihnya dikongsi anak-anak.

Anak lelaki mendapat dua kali ganda bahagian berbanding anak perempuan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 2 Mac lalu, Aminah menamakan balu Jamaluddin, Dr Kalsom Ismail, 62, dan anak mereka Nur Anis, 33; Ikhwan Hafiz, 31; Nurul Aliyaa 27; dan Noor Adila, 23 sebagai pihak dalam tindakannya.

Jamaluddin meninggal dunia dalam kemalangan helikopter pada April 2015 di Semenyih, Selangor. – 30 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen