WILAYAH Kashmir hari ini lumpuh susulan mogok besar-besaran dan perintah berkurung yang dikuatkuasakan menjelang pendengaran kes kuasa autonomi wilayah itu di Mahkamah Agung.
Kumpulan pemisah mengugut untuk melancarkan tunjuk perasaan secara besar-besaran jika Mahkamah Agung membatalkan undang-undang yang melarang rakyat India dari luar Kashmir untuk membeli tanah atau berkhidmat dalam kerajaan di wilayah itu.
Peniaga, pihak sekolah dan perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh Kashmir menyahut seruan kumpulan pemisah untuk menutup operasi mereka manakala tentera kerajaan India memasang kawat duri dan penghadang besi di sekitar jalan di bandar Srinagar bagi menghalang demonstrasi.
Penduduk Srinagar berkata mereka dihalang untuk keluar di jalanan oleh anggota tentera dan polis yang dikerah berkawal di lokasi tersebut.
“Ini merupakan perintah berkurung. Tiada penduduk dibenarkan keluar,” kata seorang guru di bandar itu kepada AFP.
Pendengaran kes yang dijadualkan berlangsung di New Delhi itu mencetuskan ketegangan antara puak pemisah dan tentera kerajaan sehingga mengakibatkan kematian berlaku hampir setiap hari.
Kumpulan pemisah berkata kes yang dikemukakan itu bertujuan menentang keistimewaan penduduk Kashmir terutamanya dalam soal keagamaan.
Kashmir menjadi rebutan antara India dan Pakistan sejak kedua-dua negara itu mencapai kemerdekaan pada 1947.
Kumpulan pemisah memerangi tentera kerajaan India selama berpuluh-puluh tahun untuk menuntut kemerdekaan atau bergabung dengan Pakistan. – AFP, 30 Ogos, 2018.
Komen