USAHA Singapura untuk mendapatkan pengiktirafan PBB bagi makanan jalanannya mencetuskan kemelut kulinari dengan negara jiran, apabila jurumasak Malaysia turut mengecam usaha itu.
Republik itu mempunyai banyak medan selera penjaja yang menyediakan makanan jalanan seperti nasi ayam, mee dan sate pada harga murah.
Malah, ada penjaja yang menerima penghormatan bintang Michelin sejak 2016.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan minggu lepas yang Singapura akan mencalonkan budaya penjaja makanan kepada senarai warisan budaya Unesco, menyifatkan makanan penjaja negara itu sebagai “ruang makan komuniti” yang membentuk sebahagian identiti negara itu.
Tetapi usaha itu mencetuskan kemarahan di Malaysia yang berkongsi banyak budaya makanan dan sejak sekian lama mendakwa budaya penjaja makanan Malaysia lebih hebat berbanding republik kecil itu.
Chef selebriti Malaysia, Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan memberitahu AFP yang usaha Singapura mendapatkan penghormatan UN sebagai “sampah”.
“Apabila anda bercakap soal penjaja, Singapura bukan satu-satunya negara yang ada budaya penjaja…mengapa (perlu anda) dapatkan paten Unesco? Istimewa sangatkah?” soal chef yang pernah muncul bersama Anthony Bourdain dalam rancangan masakan itu.
Seorang lagi chef terkenal, Ismail Ahmad menegaskan yang Malaysia sebenarnya adalah “syurga” makanan jalanan dan sepatutnya Malaysia yang memohon pengiktirafan PBB.
“Orang Singapura pun datang Malaysia untuk makan,” katanya.
Tetapi Singapura mengetepikan kemarahan Malaysia, menegaskan yang penyenaraian Unesco bukan sekadar soal makanan.
Singapura merancang menghantar pencalonan kepada Unesco pada Mac tahun depan dan pengumuman sama ada ia berjaya dijangka diketahui pada 2020. – AFP, 30 Ogos, 2018.
Komen