Britain mahu haramkan jualan minuman tenaga kepada kanak-kanak


Perdana Menteri Theresa May mahu menghalang peruncit daripada menjual minuman tenaga popular seperti Red Bull, Monster dan Relentless kepada kanak-kanak kerana kandungan gula dan kafein yang tinggi. – Gambar AFP, 30 Ogos, 2018.

KERAJAAN Britain melancarkan rundingan awam pada Khamis berkaitan rancangan mengharamkan penjualan minuman tenaga kepada remaja, ketika ia bergelut bersama-sama beberapa buah negara Eropah Barat lain dalam isu obesiti kanak-kanak.

Perdana Menteri Theresa May mahu menghalang peruncit daripada menjual minuman tenaga popular seperti Red Bull, Monster dan Relentless kepada kanak-kanak kerana kandungan gula dan kafein yang tinggi.

Kerajaan menganggarkan lebih dua pertiga kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun serta suku jumlah kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun mengambil minuman itu, yang dikaitkan dengan masalah kesihatan dan tingkahlaku, daripada sakit kepala kepada hiperaktif.

“Obesiti kanak-kanak adalah salah satu cabaran kesihatan terbesar dihadapi negara ini,” kata May dalam satu kenyataan.

“Dengan ribuan orang muda kerap mengambil minuman tenaga, selalunya kerana ia dijual lebih murah berbanding minuman ringan, kami akan mencadangkan pengharaman minuman tenaga kepada kanak-kanak.”

Rancangan itu pertama kali diumumkan pada Jun, bersama-sama komitmen untuk mengurangkan separuh kadar obesiti kanak-kanak menjelang 2030.

Rundingan awam itu akan berjalan selama 12 minggu dan akan bertanya sekiranya sekatan perlu dikenakan ke atas kanak-kanak di bawah 16 atau 18 dan jika undang-undang perlu dipinda untuk menghalang kanak-kanak membelinya dalam apa juga situasi.

Cadangan perundangan itu akan menghalang penjualan minuman tenaga yang mengandungi lebih daripada 150 miligram kafein per liter kepada kanak-kanak.

Botol 250 mililiter pula mungkin mengandungi dua kali ganda kandungan kafein dan gula- bersamaan dengan tiga tin minuman berkarbonat, menurut Jabatan Kesihatan.

Secara puratanya, minuman tenaga bukan diet juga mengandungi 60% lebih kalori dan 65% lebih gula berbanding minuman ringan lain, katanya.

Hampir suku daripada jumlah kanak-kanak di England mengalami masalah obesiti atau lebih berat badan menjelang usia lima tahun, jumlah itu naik kepada satu pertiga menjelang usia 11 tahun. – AFP, 30 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen