Starbucks Korea guna straw kertas mulai bulan depan


Starbucks menjangkakan satu bilion penggunaan straw plastik dapat dikurangkan pada setiap tahun. . – Gambar EPA, 30 Ogos, 2017.

STARBUCKS Coffee Korea Co akan menggantikan penggunaan straw plastik dengan straw diperbuat daripada kertas di semua rangkaian kedainya, sebagai usaha melindungi alam sekitar.  

Tempoh percubaan penggunaan straw kertas akan bermula bulan depan, lapor agensi berita Yonhap.

Syarikat itu berkata tempoh percubaan selama dua bulan mulai 10 September di 100 buah kedai di Seoul dan bandar utama yang lain, sebelum diperluaskan ke semua rangkaian di seluruh negara pada November.

Terdapat dalam dua warna iaitu putih dan hijau, yang telah menerima kelulusan keselamatan makanan dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Selepas tempoh percubaan, syarikat itu akan memutuskan warna mana yang bakal dipilih berdasarkan pilihan pelanggan.

Menjelang 2020, Starbucks menyasarkan 28,000 kedai kopinya di seluruh dunia tidak menggunakan straw plastik.

Dalam satu kenyataan bulan lalu, rangkaian kedai kopi terbesar dunia itu menjangkakan satu bilion penggunaan straw plastik dapat dikurangkan pada setiap tahun. 

Pada Jun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Alam Sekitar memberi amaran sisa buangan plastik menjadi punca utama kepada pencemaran alam sekitar, kerana plastik mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk diuraikan. 

Kira-kira 180 juta straw plastik digunakan di rangkaian kedai kopi di Korea Selatan setiap tahun, menurut Starbucks Coffee Korea, usaha sama antara Starbucks Coffee International Inc dan Shinsegae.

Di samping itu penggunaan pengadun plastik akan diganti dengan jenis kayu selain penutup minuman tanpa straw mulai November.

Minuman sejuk menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah jualan pada tahun lepas, meningkat 37 peratus berbanding lima tahun lalu, katanya. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen