Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi tidak akan ditarik balik 


Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi menerima hadiah Nobel itu pada 1991 kerana memperjuangkan demokrasi dan kebebasan. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2018

HADIAH Nobel yang dimenangi pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi tidak akan ditarik balik walaupun Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu melaporkan pihak tentera Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik terhadap umat Islam Rohingya, lapor theguardian.com.

Penyiasat PBB berkata tentera Myanmar menjalankan pembunuhan dan rogol beramai-ramai dengan “niat pembunuhan beramai-ramai”, dan ketua komander tentera dan lima jeneralnya perlu dihukum atas jenayah itu dibawah undang-undang antarabangsa. 

Aung San Suu Kyi, yang memimpin kerajaan Myanmar dan memenangi hadiah Nobel pada 1991 kerana berkempen untuk demokrasi, menerima kecaman selepas gagal bersuara berhubung tindakan tentera di negeri Rakhine.

Sejak operasi itu bermula tahun lalu, puluhan ribu umat Islam Rohingya terbunuh dan 700,000 lagi melarikan diri. Kebanyakannya tinggal di kem pelarian di negara jirannya Bangladesh. 

Setiausaha Jawatankuasa Nobel Norway, Olav Njoelstad berkata, “Amat penting untuk ingat bahawa hadial Nobel, sama ada dalam bidang fizik, sastera atau keamanan, dianugerahkan bagi usaha dan pencapaian di masa lalu.

“Aung San Suu Kyi memenangi hadial Nobel kerana beliau berjuang untuk demokrasi dan kebebasan sehingga 1991, tahun yang mana beliau dianugerahkan hadiah itu.

Peraturan hadiah Nobel tidak membenarkan hadiah itu ditarik balik, katanya. 

Jawatankuasa Nobel Norway terdiri daripada panel lima orang panel, kebanyakannya bekas ahli politik dan ahli akademik, yang mencerminkan kekuatan yang berbeza dalam parlimen Norway. Hadiah Nobel lain diberikan di Sweden.

Pada 2017 ketua jawatankuasa itu, Berit Reiss-Andersen, juga berkata ia tidak akan melucutkan anugerah itu selepas kritikan terhadap peranan Aung San Suu Kyi dalam krisis Rohingya.

“Kami tidak melakukannya. Ia bukan tugas kami untuk mengawasi atau menapis apa yang dilakukan seorang pemenang selepas hadiah dimenangi, “katanya. “Pemberi hadiah itu sendiri perlu menjaga reputasi mereka sendiri.” – 30 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen