Mana 1 juta rumah mampu milik, soal ahli Parlimen Sandakan


Melati A. Jalil

PEMBANGKANG mendakwa Barisan Nasional gagal mengotakan janji PRU13 untuk membina 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Ahli Parlimen Sandakan Wong Tien Fatt berkata pada April 2017 hanya 27% kadar penyelesaian (237,738) daripada jumlah 1 juta disiapkan di seluruh negara.

“Daripada manifesto, mereka kata akan bina 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun, menjelang 2018. Namun jawapan yang saya terima adalah mereka hanya siapkan 27% daripada angka yang dijanjikan.

“Selain Kedah yang mereka sudah siapkan 72%, jumlah bagi negeri lain adalah di bawah 30% terutamanya Sabah yang hanya 24%.

“Saya mahu tanya Barisan Nasional adakah mereka mampu menunaikan janji,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau merujuk kepada jawapan bertulis daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai jumlah rumah mampu milik yang disiapkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 di setiap negeri.

Menurut jawapan itu, kementerian berkenaan berkata sasaran 1 juta itu dijangka akan dicapai menjelang akhir 2017. – 31 Julai, 2017.

Wong turut mempersoalkan mengapa program Rent-to-Own (sewa beli) tidak diperkembangkan ke Sabah dan Sarawak, yang mana ia boleh membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.

“Pendapatan kami lebih rendah berbanding di semenanjung, namun harga ruumah adalah sama dengan Kuala Lumpur. Saya minta kerajaan BN jawab berapa unit yang boleh dibina dan siap dalam masa kurang daripada setahun,” katanya. – 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen