LEBIH 300 ekor penyu daripada spesis terancam ditemui mati di pantai di selatan Mexico, dipercayai selepas terperangkap dalam jaring yang diharamkan penggunaannya oleh nelayan, kata pihak berkuasa alam sekitar negara itu.
Ia merupakan penemuan kedua terbesar penyu mati sejak beberapa minggu lalu, penyu lipas (Lepidochelys olivacea) ditemui terapung di pesisir pantai Puerto Escondido di negeri Oaxaca.
“Haiwan terbabit dipercayai lemas di laut kira-kira lapan hari lalu, selepas terperangkap dalam pukat yang diharamkan sepanjang 120 meter dan tali pancing enam inci,” kata unt pendakwaan jenayah alam sekitar Mexico.
Pada 17 Ogos, pihak berkuasa berkata mereka menemukan 122 bangkai penyu di pantai di negeri Chiapas, kebanyakannya dari spesis yang sama.
Dalam kes berkenaan, sebahagian daripada penyu yang mati itu mempunyai kesan cedera pada kepala atau cangkerang.
Mexico mengharamkan penangkapan penyu pada 1990, namun masih terdapat pasaran gelap untuk telurnya. – AFP, 30 Ogos, 2018
Komen