Tanya diri kamu jika layak terajui MCA, soal Gan kepada pimpinan parti


Khoo Gek San

Prestasi pilihan raya MCA menurun sejak pilihan raya umum 2008 yang membawa kepada tanggungjawab besar pemimpinnya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2018

PEMIMPIN MCA yang membawa parti kepada kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 perlu tanya diri mereka adakah mereka layak untuk terus menerajui parti, kata Gan Ping Sieu.

Dalam apa yang dilihat sebagai serangan terhadap Wee Ka Siong, Gan berkata parti itu mesti diketuai oleh para pemimpin berintegriti dan telus mengenai peranan masa depannya.

Wee merupakan timbalan presiden parti yang memainkan peranan besar dalam menerajui parti pada PRU14 bersama presidennya Liow Tiong Lai.

Berikutan kekalahan teruk pada PRU14, Liow yang turut kehilangan kerusi Parlimen Bentong memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan parti. Beliau bagaimanapun menyokong Wee sebagai penggantinya.

Terdapat laporan yang menyatakan bekas presiden Dr Chua Soi Lek dan Gan akan merebut jawatan presiden.

Bagaimanapun Gan yang merupakan bekas naib presiden tidak mengesahkan keputusannya tetapi berkata beliau sedia membina semula MCA untuk bangkit daripada prestasi teruk pada pilihan raya umum.

“Semua orang bekerja keras. Ia bukan salah akar umbi, ia hanya masalah dua, tiga pemimpin pusat. Orang yang mengetuai pasukan mesti memikul tanggungjawab besar,” kata ketua bahagian Kluang itu kepada The Malaysian Insight.

Kata Gan pemimpin ini perlu tanya diri mereka sama ada mereka perlu terus memimpin parti.

Beberapa hari lalu, terdapat laporan yang menyebut bekas timbalan menteri belia dan sukan itu sedia untuk bertanding buat kali kedua bagi merebut jawatan presiden parti. Gan berdepan presiden MCA Liow Tiong Lai dan bekas presiden MCA Ong Tee Keat pada 2013 dan tewas.

Naib presiden MCA Gan Ping Sieu dilaporkan bakal berdepan dengan bekas presiden parti Dr Chua Soi Lek bagi merebut jawatan itu. – Gambar Youtube, 30 Ogos, 2018

“Saya mahu keluar. Ada media bertanya kepada saya sama ada saya akan bertanding jawatan presiden, saya tidak pernah berkata begitu, tetapi saya juga tidak akan menafikan berita itu, saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi. Sudah pasti saya tidak akan berjuang sendirian, “kata Gan.

“Saya sedia menerima sesiapa yang menyokong saya, walaupun mereka daripada kem Liow atau Chua,” tambahnya.

Prestasi pilihan raya MCA menurun sejak pilihan raya umum 2008. Ia mendapat nama jolokan 7-11 apabila hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi pada 2013.

Pada 9 Mei, ia hanya memenangi satu kerusi Parlimen - Ayer Hitam yang disandang oleh Wee -  dan dua kerusi DUN. Gan sendiri tewas di Kluang oleh calon DAP Wong Shu Qi.

Gan berkata pemimpin yaang mahu MCA kembali bangkit perlu memenuhi tiga syarat, pertama mempunyai integriti dan moral kepimpinan.

Kedua, pemimpin perlu telus dengan status MCA dalam Barisan Nasional kerana MCA masih dianggap kekurangan Umno dan dikritik kerana itu.

Ketiga, pembaharuan mesti lebih daripada slogan, dengan haala tuju yang jelas kepada ahli parti.

“Saya 52 tahun ini, saya percaya saya perlu berkongsi pendapat dan dea dengan kepimpinan baharu, dan menyumbang kepada MCA dengan pengalaman saya sebelum ini,” kata peguam itu. – 30 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen