Pemeriksaan keselamatan lapangan terbang Australia diperketat


BERIKUTAN ancaman keganasan diterima lapangan terbang di Australia, menyebabkan berlakunya kelewatan dalam proses pemeriksaan kawalan keselamatan, kata Menteri Keadilan Australia Michael Keenan pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya ia hanya langkah sementara, lapor agensi berita China Xinhua.

Pada Sabtu malam empat lelaki dipercayai terbabit dalam komplot untuk menjatuhkan pesawat di Australia, berjaya ditahan pihak berkuasa diketuai Polis Persekutuan Australia (AFP), dalam lima serbuan dijalankan di Sydney.

Keenan berkata berikutan langkah keselamatan diperketat berlaku kelewatan kepada pelancong domestik dan antarabangsa namun pihak keselamatan akan memastikan keselamatan rakyat adalah terpelihara.

“Kita mempunyai tahap keselamatan yang komprehensif dan percaya ia amat berkesan,” katanya kepada Sky News.

Beliau berkata meskipun langkah keselamatan tambahan menyebabkan orang ramai berdepan beberapa kesulitan, beliau percaya ia dilakukan demi keselamatan orang awam dan pastinya mereka akan menghargainya.

Siasatan berhubung dakwaan komplot itu masih dijalankan, namun media tempatan melaporkan serangan mungkin melibatkan bahan letupan atau penggunaan gas yang boleh mengakibatkan kematian.

Keenan bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan memberi jaminan pihak keselamatan Australia akan sentiasa berusaha memastikan keselamatan awam. – Bernama, 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen