MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) hari ini diberitahu bahawa bekas pegawai kanan tentera Congo, Bosco Ntaganda memberikan tentera kanak-kanak dalam pasukan pemberontakannya dengan dadah dan alkohol sebelum mengarahkan mereka membunuh musuhnya.
Peguam yang mewakili 283 mangsa dalam kes itu berkata Ntaganda, kini berusia 44 tahun, terbabit secara langsung dalam pengambilan ribuan kanak-kanak dalam pasukan tenteranya, yang mentadbir secara keganasan di timur laut republik itu pada 2002 dan 2003.
Ntaganda menggunakan mereka (tentera kanak-kanak) untuk turut serta, di bawah pengaruh alkohol dan dadah untuk membunuh, merogol dan menculik musuhnya, kata peguam Sarah Pellet.
Hakim di ICC yang berpangkalan di Hague itu mendengar penyataan penutup pada perbicaraan hari kedua kes itu terhadap seorang individu dengan nama “The Terminator”.
Pendakwa berkata tentera Ntaganda mengganas di wilayah yang kaya dengan hasil mineral, Ituri selama lebih 15 tahun lalu.
Ntaganda berdepan 13 pertuduhan melakukan jenayah perang dan lima pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan susulan peranannya dalam konflik.
Tuduhan jenayah itu termasuk membunuh, merogol, perhambaan seksual dan mengambil kanak-kanak di bawah usia 15 tahun untuk berkhidmat dalam pasukan tenteranya, Patriotic Forces for the Liberation of Congo (FPLC). – AFP, 29 Ogos, 2018.
Komen