Pengerusi DAP Sarawak nafi bakal calon ketua menteri Pakatan


Desmond Davidson

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Sarawak dan juga pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen berkata pakatan itu tidak membincangkan tentang ketua menteri pilihan jika ia menang pilihan raya negeri (PRN) pada 2021.

Chong berkata demikian ketika menafikan laporan berita bahawa beliau akan menjadi ketua menteri jika PH menang PRN itu.

“Kedua-dua PH Sarawak dan pakatan di peringkat nasional tidak pernah membincangkan calon ketua menteri Sarawak.

“Ini satu lagi berita palsu direka dalam cubaan menimbulkan kekacauan dan perbalahan yang tidak perlu dalam kalangan parti komponen PH,” katanya.

Berita itu kali pertama disiarkan di laman web bahasa Melayu Malaysiakini.

Malaysiakini dua hari lalu memetik Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah Anuar Abdul Hamid sebagai berkata ada perjanjian antara parti komponen PH yang Bersatu akan mengetuai pentadbiran di Kedah, Perlis, Perak dan Johor jika mereka menang di negeri berkenaan pada 9 Mei.

PKR akan mengetuai Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sementara DAP diberikan Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.

Amanah pula mentadbir Kelantan, Terengganu dan Melaka, katanya dilaporkan sebagai berkata.

Anuar juga dilaporkan berkata perjanjian tentang negeri sudah dibuat sebelum pilihan raya umum.

Menolak laporan itu, Chong berkata pemimpin PH memfokuskan kepada pentadbiran negara untuk menyelamatkan negara ini daripada dimusnahkan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu.

“Untuk Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) penyebab utama kenapa banyak bahagian di Sarawak, pembangunannya masih mundur,” kata ahli Parlimen Stampin itu yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People’s Party (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang semuanya bekas parti komponen BN di Sarawak. – 29 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen