LUBNAN enggan berunding secara langsung dengan Syria berhubung isu mengembalikan semula pelarian ke negara asal mereka, memetik sumber akhbar dalam talian Elnashra.
“Kami sedang menyelesaikan perkara itu dengan Rusia bagi membolehkan pelarian kembali ke negara asal secara sukarela dengan bantuan komuniti antarabangsa,” kata Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.
Beliau berkata selama ini, Lubnan menawarkan pelbagai bantuan kepada Syria sepanjang negara itu dilanda krisis, selain menyambut kedatangan pelarian termasuk yang menyokong Presiden Syria Bashar al-Assad.
Menyokong pembangkang Syria sejak sekian lama, Hariri pada Ogos mengumumkan keengganannya untuk melawat Syria atau bertemu dengan Assad dalam apa jua keadaan, meskipun keputusan itu akan menggugat kedudukannya.
Hariri menangani krisis pelarian berdasarkan strategi Kementerian Pertahanan Rusia dan Kementerian Luar Negeri.
Menurut strategi itu, sebuah jawatankuasa keselamatan Rusia-Syria akan dibentuk untuk memudahkan undang-undang berkaitan kepulangan pelarian Syria dari Lubnan ke tanah air mereka. – Bernama, 29 Ogos, 2018.
Komen