TANPA lelah, kumpulan Orang Asli suku Temiar di Gua Musang Kelantan tetap mendirikan semula sekatan yang dirobohkan pihak berkuasa selagi tuntutan mereka untuk mendapatkan perlindungan tanah adat tidak dipenuhi kerajaan negeri.
Jurucakap kumpulan berkenaan, Mustafa Along berkata sekatan di Cawas akan dinaikkan semula malam ini selepas tiga kali dirobohkan.
“Malam ini kita akan naikkan semula sekatan di Cawas dan kita juga merancang untuk menaikkan sekatan tambahan, namun lokasinya hanya akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa kami malam ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mustafa berkata aktiviti mendirikan sekatan bagi menghalang kemasukan syarikat balak dan pertanian hanya akan dihentikan sekiranya kerajaan negeri Kelantan menghentikan aktiviti berkenaan daripada terus berlaku di tanah adat mereka.
“Kita akan hentikan sekatan sekiranya kerajaan Kelantan menghentikan aktiviti pembalakan, kami rasa cukuplah, tak perlu tebang hutan lagi,” katanya.
Isnin lalu, pihak berkuasa merobohkan sekatan yang dibina dan dijaga Orang Asli sejak tujuh bulan lalu bagi menghalang pembalak dan peladang daripada memasuki kawasan yang didakwa sebagai tanah adat mereka.
Operasi bersama terhadap tiga sekatan di hutan Ulu Kelantan itu dijalankan selepas kerajaan negeri dan Persekutuan gagal menyelesaikan perebutan tuntutan tanah antara suku Temiar di Gua Musang dan perniagaan pertanian.
Kira-kira 200 pegawai dari Jabatan Perhutanan Kelantan dan Pejabat Tanah Gua Musang berada di sekatan di Cawas, Kaleg dan Kegeg.
“Selagi kerajaan tidak hentikan keluar lesen balak, kami akan teruskan sekatan,” kata Mustafa memberi jaminan.
Seorang lagi aktivis Orang Asli Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah membuat laporan polis kerana pekerja syarikat ladang Musang King memasuki semula kawasan itu selepas sekatan dirobohkan.
“Pagi tadi syarikat ladang mereka masuk ke ladang diiringi Jabatan Perhutanan negeri, mereka masih ceroboh tanah kami, dan saya buat laporan polis hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 29 Ogos, 2018.
Tidak putus asa, Orang Asli Gua Musang dirikan semula sekatan
Komen