5 sekeluarga terbunuh rumah runtuh di Nepal


Berikutan musim hujan, Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal mengingatkan penduduk untuk sentiasa berjaga-jaga kemungkinan berlakunya tanah runtuh. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2018.

SEPASANG suami isteri bersama tiga anaknya terbunuh selepas rumah mereka runtuh di sebuah kampung di kawasan pedalaman, daerah Salyan, barat Nepal pada malam Selasa.

Lelaki berusia 40 tahun dan isterinya, 35, bersama dua anak perempuan dan seorang anak lelaki masing-masing berusia enam, tujuh dan empat tahun maut di tempat kejadian.

Kejadian dikatakan berlaku akibat tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat, kata ketua polis Salyan, Birendra Bahadur Shahi kepada agensi berita Xinhua pada Rabu.

“Ketika kejadian kesemua mangsa sedang tidur,” katanya, sambil menambah seorang lagi anak perempuan mangsa berusia 11 tahun selamat dan hanya cedera.  

Berikutan musim hujan, Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal mengingatkan penduduk untuk sentiasa berjaga-jaga kemungkinan berlakunya tanah runtuh. – Bernama, 29 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen