AGENSI rating AS Moody’s bersetuju untuk membayar lebih daripada AS$16 juta bagi menyelesaikan pertuduhan berkaitan rating pincang ke atas sekuriti pinjaman hartanah bernilai berbilion dolar dan penggunaan simbol ratingnya, umum pihak berkuasa AS pada Selasa.
Ini adalah kali pertama Suruhanjaya Sekuriti dan Perdagangan (SEC) mengenakan dakwaan melibatkan salah guna simbol rating, kata agensi itu.
Ia berlaku selepas hampir 10 tahun krisis kewangan global yang menyaksikan rating pincang sekuriti pinjaman hartanah (MBS) memainkan peranan utama.
Pelabur bergantung kepada rating tersebut untuk menilai kebolehpercayaan pinjaman yang menyokong sekuriti terbitan (derivative securities).
SE berkata Moody’s gagal mewujudkan dan melaksanakan kawalan dalaman yang berwajaran untuk model digunakan memberikan rating kepada MBS antara 2010 dan 2013.
Kesannya, agensi itu salah satu yang terbesar di AS, mengeluarkan lebih 650 rating pincang bernilai lebih AS$49 bilion, menurut SEC.
Dalam 54 kes, Moody’s memberikan rating berbeza dengan apa yang dicadangkan modelnya, tetapi tidak menyimpan rekod alasan percanggahan itu, kata suruhanjaya tersebut.
Denda AS$1.3 juta daripada AS$16 juta pula berkaitan dengan 26 rating sekuriti digelar “combo notes” bernilai AS$2 bilion yang menurut SEC tidak konsisten dengan sekuriti lain menggunakan simbol rating yang sama.
SEC memberi amaran kepada Moody’s tentang kelemahan kawalan dalamannya tetapi mereka “masih tidak membangunkan proses berkesan bagi memastikan ketepatan model” untuk rating, kata Antonia Chion, penolong pengarah penguatkuasaan SEC dalam satu kenyataan.
Moody’s tidak menafikan atau mengakui wujudnya salah laku.
Siasatan Kongres pada 2011 berkata agensi rating memainkan peranan “penting” dalam mencetuskan krisis kewangan 2008 yang meruntuhkan Wall Street- dan menuduh Moody’s terutamanya berperanan utama dengan secara berterusan memberikan rating tinggi kepada aset toksik yang akhirnya runtuh dalam krisis kewangan itu. – AFP, 29 Ogos, 2018.
Komen