PRESIDEN Brazil Michel Temer menandatangani dekri pada Selasa untuk menghantar tentera bagi “menjamin undang-undang dan keamanan” di sempadan Venezuela selepas pertempuran ganas berlaku.
Awal bulan ini, lebih seribu pendatang gelandangan warga Venezuela membanjiri sempadan di negeri Roraima, Brazil diserang oleh penduduk tempatan yang marah dengan merosakkan khemah sementara mereka selepas tersebar khabar angin seorang peniaga dipukul pendatang.
Temer berkata tindakannya adalah untuk menyediakan “keselamatan kepada warga Brazil serta pendatang Venezuela yang melarikan diri dari negara mereka.”
Beliau juga menyifatkan krisis Venezuela sebagai “tragik”, berkata ia “sebenarnya mengancam keamanan seluruh rantau.”
Temer mendesak “masyarakat antarabangsa mengambil langkah diplomatik” untuk menghalang kemasukan besar-besaran warga Venezuela ketika krisis ekonomi dan politik negara itu di bawah pimpinan Presiden Nicolas Maduro menyebabkan jutaan penduduknya berhijrah.
PBB berkata seramai 2.3 juta warga Venezuela tinggal di luar negara, dengan 1.6 juta meninggalkan negara itu sejak 2015.
Negara kaya minyak tetapi sangat bergantung hanya kepada sumber itu, ia dalam tahun keempat kemerosotan ekonomi sejak kejatuhan harga minyak global pada 2014. 96% pendapatan negara dijana oleh sumber minyak.
Temer tidak mendedahkan jumlah tentera dihantar ke Roraima, tetapi Menteri Pertahanan Joaquim Silva e Luna berkata “tentera sudah bersiap sedia” di sempadan.
Menteri Keselamatan Sergio Etchegoyen memberi amaran yang Brazil “perlu mendisplinkan” kebanjiran pendatang. – AFP, 29 Ogos, 2018.
Komen