Liow ulangi sokongan terhadap Ka Siong sebagai presiden MCA


Gan Pei Ling

Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong menjadi pilihan Liow Tiong Lai untuk mewarisi jawatan presiden parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2018.

PRESIDEN MCA Liow Tiong Lai hari ini mengulangi sokongannya kepada Timbalan Presiden, Wee Ka Siong, untuk mengambil alih kepimpinan parti dalam pertandingan pelbagai penjuru bagi merebut jawatan tertinggi tersebut.

“Saya harap Ka Siong boleh ambil alih (parti) dengan lancar. Secara peribadi, saya memilih Ka Siong untuk mengambil alih kepimpinan dan meneruskan pembaharuan,” katanya kepada pemberita di luar majlis angkat sumpah jawatankuasa baharu MCA Bangi.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai hasrat bekas naib presiden merangkap Ketua MCA Kluang Gang Ping Sieu untuk merebut jawatan presiden buat kali kedua dalam pemilihan kali ini yang akan diadakan pada November nanti.

Gan, yang merupakan bekas timbalan menteri belia dan sukan, tewas kepada kepada Liow pada pemilihan 2013.

Bekas presiden MCA Chua Soi Lek, yang merupakan bekas menteri kesihatan, turut mendapat sokongan bahagian untuk merebut jawatan presiden.

Liow mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai presiden MCA selepas parti mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Saya tidak mahu lihat banyak pertembungan dalaman untuk merebut jawatan penting ini, kerana kita kini di tahap yang paling lemah. Kita mahu setiap ahli bekerja sebagai satu pasukan, kesemua daripada kita, untuk saling bantu-membantu bagi mentransformasi parti,” kata Liow

“Pun begitu, ini adalah parti demokratik. Kita menghormati hak ahli untuk bertanding.

“Saya menasihati mereka untuk bekerjasama. Adalah penting untuk kita kekal bersatu sebagai sebuah parti.” – 28 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen