MCA lancar Deklarasi Balakong


Briana Leong

MCA melancarkan Deklarasi Balakong, sebuah manifesto dengan lima janji, bagi memulihkan semula parti selepas mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Ogos, 2018.

MCA melancarkan Deklarasi Balakong, sebuah manifesto dengan lima janji, bagi memulihkan semula parti selepas mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Presidennya Liow Tiong Lai berkata MCA mahu menyisihkan beban politik lalu dan bermula semula daripada kosong.

“Adalah penting untuk rakyat mempunyai keyakinan terhadap parti politik. Deklarasi ini adalah janji kami bahawa MCA akan membuat pembaharuan, MCA adalah parti bebas dan Balakong adalah permulaan kepada pembaharuan tersebut.

“Deklarasi Balakong menandakan kelahiran semula MCA, penambah baikkan menyeluruh bagi meraih semula sokongan rakyat,” katanya pada pelancaran Deklarasi Balakong di Sungai Chua, Kajang, hari ini.

MCA menang hanya satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14.

Liow berkata MCA harus meraih sokongan pengundi Balakong supaya parti itu dapat menjadi semak dan imbang kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Deklarasi Balakong menetapkan hala tuju baru untuk MCA, membantu membina sistem dua parti, untuk memperjuangkan faedah kepada rakyat.

“Ia adalah langkah penting untuk MCA. Kami menyeru pengundi Balakong agar memberi kami peluang. Sokongan anda akan menyuntik semangat kami untuk terus maju ke hadapan.”

Lima janji manifesto tersebut adalah:

– MCA akan mengkaji semula masa lalu dan melakar laluannya sendiri pada masa depan - demi rakyat;

– MCA akan terus mempertahankan kedaulatan undang-undang, mengangkat demokrasi dan kebebasan, dan memperjuangkan keadilan;

– MCA akan mendukung ketelusan, keberkesanan dan kesucian;

– MCA akan menerima iklim politik baru, berfungsi sebagai semak dan imbang dengan berkesan dan rasional, dan menggunakan pengalamannya dalam kerajaan untuk tujuan ini; dan,

– MCA akan mendakap semangat sistem dua parti yang sihat, dan bertekad untuk kembali ke arus politik perdana. – 28 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen