MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Selasa menggesa Taliban menerima pelawaan kerajaan Afghanistan untuk mengadakan genjatan senjata kali kedua, lapor agensi berita Xinhua.
Terdahulu kedua-dua pihak bersetuju mengadakan “gencatan senjata bersyarat” sempena sambutan Aidiladha bermula pada petang 21 Ogos dan berakhir 25 Ogos.
Secara tradisi, Aidiladha disambut selama empat hari tetapi di negara Arab cuti umum adalah selama sembilan hari.
“Majlis Keselamatan mengulangi pendirian bahawa pentingnya proses mewujudkan kemakmuran dan kestabilan yang inklusif serta berpanjangan di Afghanistan dan menyokong penuh usaha Kabul,” kata UNSC dalam satu kenyataan.
Pada 19 Ogos lepas, Presiden Afghanistan Ashraf Ghani menawarkan gencatan senjata selama sebulan dengan Taliban, jika kumpulan itu bersetuju menghormati keputusan tersebut.
Sehingga kini, pihak Taliban belum mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap pelawaan itu, namun akan melepaskan ratusan banduan untuk meraikan Aidiladha.
Pada Jun, Kabul melanjutkan gencatan senjata sepihak dengan Taliban berikutan kedua-dua pihak dilihat menghormati usaha itu sepanjang cuti sempena Aidilfitri. – Bernama, 28 Ogos, 2018.
Komen