SERAMAI 14 penyokong pembangkang Cambodia yang dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan, dibebaskan hari ini, jumlah terbesar yang pernah diampunkan sejak Perdana Menteri Hun Sen meneruskan lagi pemerintahannya selepas pilihan raya yang menyaksikan politik negara itu mempunyai hanya satu parti.
Parti pembangkang utama, Cambodia National Rescue Party (CNRP) dibabarkan beberapa bulan sebelum pilihan raya pada Julai, memberikan parti pemerintah diketuai Hun Sen, Cambodia People’s Party menyapu bersih semua kerusi di Parlimen.
Pada masa sama kebanyakan ahli CNRP dan pengkritik kerajaan dikenakan tindakan keras kerana menyuarakan pendapat yang berbeza.
Semua 14 yang dibebaskan hari ini dari penjara Prey Sar di Phnom Penh diberi pengampunan daripada Raja Cambodia, daripada sabitan kesalahan yang membawa hukuman penjara antara tujuh dan 20 tahun.
Pengampunan mereka diberi selepas semua memohon maaf kepada Hun Sen menerusi surat.
Mereka ditahan pada 2015 dan didakwa kerana melakukan pemberontakan selepas berlaku pertembungan yang menyebabkan berpuluh-puluh anggota keselamatan dan penunjuk perasaan cedera. – AFP, 28 Ogos, 2018.
Komen