Lelaki Vietnam paling ramai minum arak di Asia, kata laporan


Kira-kira AS$3.4 bilion diperuntukkan untuk bir setiap setahun di Vietnam, dengan 90 peratus daripadanya dibelanjakan kepada pembuat bir asing. – Gambar EPA, 28 Ogos, 2018.

KAUM lelaki di Vietnam paling ramai minum minuman beralkohol iaitu lima kali dalam sehari, paling tinggi di Asia, menurut kaji selidik oleh jurnal perubatan berprestij dunia, Lancet, lapor Xinhua.

Segelas minuman beralkohol biasa mengandungi 10 gram alkohol, bersamaan segelas kecil bir atau wain, memetik akhbar dalam talian Zing pada Selasa. 

Sementara itu, golongan wanita Vietnam pula menikmati minuman keras paling sedikit di dunia iaitu kurang segelas sehari.

Menurut statistik yang belum lengkap oleh agensi-agensi berkaitan, 10 peratus penduduk Vietnam didapati terbabit dalam penyalahgunaan arak. 

Rakyat negara itu juga dilaporkan minum lebih empat bilion liter minuman keras tahun lalu, naik enam peratus berbanding 2016, kata Persatuan Bir, Alkohol dan Minuman Vietnam.

Kira-kira AS$3.4 bilion diperuntukkan untuk bir setiap setahun di Vietnam, dengan 90 peratus daripadanya dibelanjakan kepada pembuat bir asing. – Bernama, 28 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen