LEBIH 3,000 pelancong dipindahkan dari pulau di mana Statue of Liberty berdiri, selepas satu silinder gas terbakar di tapak pembinaan berhampiran tugu ikonik itu, kata pihak berkuasa.
Liberty Island, yang menerima kunjungan ribuan pelancong setiap hari ketika musim panas, dikosongkan dalam tempoh dua jam, sebelum anggota bomba pada 2 petang waktu tempatan mengumumkan kebakaran itu sudah berjaya dikawal.
Jurucakap Taman Negara Jerry Willis mengesahkan pelancong dapat kembali ke kawasan monumen itu, yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri awam.
Seorang pekerja pembinaan cedera ringan dalam kebakaran itu tetapi tidak memerlukan rawatan hospital, kata jurucakap bomba.
Liberty Island dikosongkan pada 4 Julai, hari kemerdekaan Amerika Syarikat selepas aktivis cuba menjejaskan tugu berkenaan sebagai bantahan terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump yang mengasingkan anak pendatang haram daripada ibu bapa mereka di sempadan AS-Mexico.
Pembinaan sedang berjalan di Muzium Statue of Libery, yang dijangka siap tahun depan. – AFP, 28 Ogos, 2018.
Komen