TOYOTA akan melabur AS$500 dalam Uber sebagai sebahagian daripada urus niaga untuk bekerjasama dalam menghasilkan kenderaan panduan sendiri, kata syarikat gergasi pembuat kereta Jepun itu hari ini.
Urus niaga itu yang dilaporkan meletakkan nilai Uber pada AS$72 bilion menyasarkan untuk “mendahului dan membawa pasaran perkongsian pemanduan tanpa pemandu pada skala lebih besar”, kata Toyota dalam satu kenyataan.
Teknologi daripada kedua-dua syarikat akan diintegrasikan bagi membina kenderaan Toyota dan digunakan untuk platform Uber, dengan kenderaan yang pertama dijangka sedia digunakan pada 2021.
“Urus niaga yang pertama seumpamanya itu untuk Uber menunjukkan komitmen kami untuk membawa teknologi bertaraf dunia bagi jaringan Uber,” kata CEO Dara Khosrowshahi.
Uber sebelum ini menggantung program kereta pandu sendiri miliknya selepas berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian seorang wanita di Arizona pada Mac.
Bulan lalu, syarikat berpangkalan di San-Francisco itu mengambil langkah untuk memulakan semula program berkenaan, meletakkan kereta panduan sendiri kembali ke jalanan tetapi dengan “mod manual”, bersama pemandu sepanjang masa.
Ujian itu akan membolehkan Uber mengumpul data berkenaan senario berbeza yang akan dicipta semula dalam simulasi komputer, dan membangunkan pemetaan lebih tepat untuk kenderaan.
Uber antara banyak syarikat teknologi dan pembuat kereta yang berlumba-lumba menghasilkan pelbagai ciri yang boleh digunakan untuk kereta pandu sendiri. – AFP, 28 Ogos, 2018.
Komen