Anak sulung Ronaldo mulai latihan di akademi Juventus


Cristiano Jr, 9, anak sulung pemain bola sepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo kini mula latihan dengan akademi muda Juventus. – Gambar EPA, 28 Ogos, 2018.

ANAK lelaki sulung kepada bintang bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo memulakan latihan dengan akademi muda Juventus bagi pasukan bawah sembilan tahun, menurut laporan media di Itali.

Ronaldo, 33, menandatangani kontrak bernilai 100 juta euro bersama pasukan Juventus di Itali pada musim panas ini, daripada pasukan Real Madrid.

Anak sulungnya, Cristiano Jr yang lahir pada Jun 2010 – dilihat menjalani latihan pada Isnin dengan skuad Juve Pulcini 2010 untuk asas Vinovo Juventus bawah sembilan tahun.

Teman wanita Ronaldo, Georgina Rodriguez turut hadir pada sesi latihan itu.

Pemain Juventus senior yang lain turut menghantar anak mereka di akademi pasukan itu termasuk anak lelaki Andrea Barzagli, Mattia dan Davide, anak kepada bekas pemain Itali, Claudio Marchisio.

Ronaldo pada minggu lalu berkata Cristiano Jr, anak sulungnya daripada empat beradik, berbakat sebagai pemain bola sepak.

“Dia sangat kompetitif. Dia seperti saya ketika kecil. Dia tidak suka kalah,” kata Ronaldo dalam satu temu bual yang disiarkan stesen penyiaran DAZN.

“Dia akan jadi seperti saya. Saya pasti 100%. Saya suka ajar dia beberapa perkara, tetapi di hujungnya dia akan pilih apa yang dia mahu dan saya akan sentiasa menyokongnya.

“Tetapi sudah tentu saya mahu dia jadi seorang pemain bola sepak kerana saya rasa dia memang berminat.” – AFP, 28 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen