POLIS Bangladesh menahan empat lelaki kerana didakwa merogol seorang remaja yang turut dibotakkan kepalanya sebagai hukuman isteri tertuduh dalam satu kes yang mengejutkan negara konservatif itu, menurut pegawai kerajaan pada Ahad.
Empat lelaki terbabit termasuk Tufan Sarker seorang ahli kesatuan yang dikaitkan dengan parti yang memerintah, Liga Awami selepas gambar mangsa dan ibunya di hospital menimbulkan kemarahan.
Isteri Sarker, Asha Khatun didakwa mengheret remaja dan ibunya ke rumah mereka, membelasah dan membotakkan kepala mereka secara paksa.
Sarker 25, didakwa merogol remaja berusia 16 tahun di rumahnya pada Jumaat, kata jurucakap polis Sonaton Chakroborty.
“Dia mengugut untuk membunuh remaja itu dan ibunya sekiranya menceritakan kejadian itu kepada orang lain,” katanya kepada AFP.
Seorang lagi pegawai memberitahu AFP, Sarker merupakan pemimpin tempatan parti Liga Awami, yang memerintah Bangladesh sejak dekad lalu.
Gambar mangsa dan ibunya di hospital tersebar di media sosial menimbulkan kemarahan rakyat Bangladesh yang menggesa polis mengambil tindakan.
Mangsa yang identitinya tidak didedahkan berkata, isteri Sarker mengesyakinya mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.
“Mereka botakkan kepala saya, berulang kali saya mohon maaf tapi mereka tidak endahkan. Mereka turut pukul ibu dan botakkan kepalanya,” katanya kepada stesen berita tempatan.
Polis berkata, pihaknya kini turut memburu kakak ipar Sarker yang merupakan ahli majlis di bandar Bogra, kerana didakwa bersubahat dalam serangan itu dengan menghantar samseng ke rumah mangsa dan membantu memukulnya. – AFP, 30 Julai, 2017.
Komen