PEMIMPIN kanan kumpulan militan Islamic State di Gurun Sahara, seorang pembantunya dan dua orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan Perancis di barat daya Mali.
“Pasukan komando turut dikerah untuk serangan darat (selepas serangan udara) mengesahkan kematian Mohamed Ag Almouner dan salah seroang pengawal peribadinya. Mereka turut menemui mayat seorang wanita dan remaja,” menurut tentera Perancis dalam satu kenyataan.
Seorang lagi anggota kumpulan militan itu turut tercedera bersama dua orang awam yang lain.
Pemimpin kumpulan militan yang terbunuh di kem terpencil di wilayah Menaka itu merupakan “leftenan kepada ketua ISGS”, kata jurucakap tentera Kolonel Patrik Steiger kepada AFP.
Tambahnya, “kaitan antara orang awam dan pemimpin kumpulan itu bagaimanapun masih disiasat.”
Kenyataan itu turut menyatakan kekesalan berhubung kematian orang awam dalam serangan berkenaan dan kini siasatan dijalankan untuk mendapatkan jawapan bagaimana mereka boleh berada di kawasan berkenaan ketika serangan dilancarkan.
Operasi tentera Perancis yang dijalankan bermula Ahad hingga Isnin itu melibatkan dua pesawat Mirage 2000, diikuti dengan serangan darat. – AFP, 28 Ogos, 2018
Komen