DI SEBALIK persaingan dua kem untuk merebut jawatan timbalan presiden dalam PKR - kem Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli - calon ketua Pemudanya mengharapkan pemilihan parti kali ini tidak akan memecahbelahkan mereka.
Dr Afif Bahardin berkata, pemilihan dalaman antara anggota keluarga PKR seharusnya menjadi medan muafakat sesama mereka.
“Jangan jadikan pemilihan ini medan berpecah. Ayuh jadikan pemilihan ini wahana untuk bingkai muafakat, supaya PKR jadi parti paling kuat dan unggul,” katanya Afif dalam debat calon ketua Pemuda PKR dalam siaran langsung di Astro Awani malam tadi.
Selain Afif, yang juga Adun Seberang Jaya, turut bertanding merebut jawatan itu adalah Ahli Parlimen Johor Baru Akmal Nasir dan Adun Kota Anggerik Najwan Halimi.
“Pasukan Akmal itu pasukan saya, gandingan Najwan itu gandingan saya,” kata Afif lagi.
Bersetuju dengan pendapat Afif, Najwan berkata hanya dengan kesepakatan, tanpa mengira pasukan akan menjadikan PKR lebih kuat.
“Dalam memandang ke hadapan, kita kena kenang masa silam, saya tawarkan harapan kepada AMK (Angkatan Muda Keadilan), kita harus bersepakat dan jadi lebih kuat. Tak kisah kem mana, kabilah mana, tapi kita perkukuhkan AMK untuk bantu presiden,” katanya.
Najwan turut menegaskan, kewujudan kem atau “Cai” dalam pemilihan parti politik seperti PKR tidak boleh dinafikan.
Sehubungan itu, beliau berkata pemimpin AMK perlu mengasingkan diri mereka daripada dipengaruhi mana-mana personaliti tertentu dalam jawatan tertinggi parti.
“Jangan nafikan wujudnya kem dalam parti, ‘Cai’ itu bukti wujudnya keadaan ini, yang penting AMK perlu bebas dan mandiri. Ketua AMK perlu bebas daripada dipengaruhi personaliti lain,” kata Najwan.
Akmal bagaimanapun melihat lebih 800,000 ahli PKR perlu memilih calon yang benar-benar memperjuangkan reformasi dan bukannya pemimpin yang mempunya agenda peribadi.
“Kita kena konsisten, angkat semangat reformasi. Pilih mereka yang benar-benar menjiwai reformasi, dan pilih yang benar-benar telus, faham isu rakyat, tiada kepentingan peribadi.
“AMK perlu main peranan ‘check and balance’ memandangkan pembangkang, Umno dan Barisan Nasional (BN) kini masih berkecamuk. AMK ada maruah dan jati diri. Jangan tidak berani nak tegur kerajaan hari ini,” kata Akmal yang juga kumpulan penyokong Rafizi.
Bagi Afif, gandingan Anwar Ibrahim sebagai presiden, Azmin sebagai timbalan presiden dan beliau sebagai ketua AMK adalah kesinambungan kepimpinan parti itu.
“PKR parti yang kuat, ada ideologi kuat, pelbagai kaum, dan merupakan ‘microcosm’ kepada Malaysia.
“AAA - Anwar, Azmin, Afif, ini adalah lambang kesinambungan kepimpinan PKR”, tambahnya lagi. – 27 Ogos, 2018.
Komen