AHMAD Zahid Hamidi belum lagi nampak menunjukkan kepimpinannya dua bulan selepas terpilih sebagai presiden Umno, kata beberapa pemimpin dan ahli parti itu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat dilihat jarang bersuara atas isu-isu semasa, berbanding pemimpin parti yang lain seperti Setiausaha Agung Annuar Musa.
Malah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga bekas ketua Pemuda Umno dan bekas pencabar Zahid dalam pemilihan parti itu lebih kerap dilaporkan di media, termasuk bekas presiden Umno sendiri, Najib Razak.
Dalam pemilihan Umno pada hujung Jun lalu, Zahid mengalahkan Khairy dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan dua lagi pencabarnya.
Selepas menjadi presiden Umno pada akhir Jun lepas, Zahid dalam sidang media pertamanya mengumumkan akan merombak struktur parti dan mencari pendekatan baru bagi menentukan hala tuju parti itu bagi memastikan ia kekal relevan.
Bagaimanapun setelah hampir dua bulan memegang jawatan sebagai presiden, masih belum kelihatan perancangan dibuat oleh ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk memulihkan parti.
Pemukiman Umno selama dua hari di Janda Baik pada 9 dan 10 Ogos lalu juga tidak membuat sebarang rumusan atau ketetapan muktamad sekaligus menyebabkan ahli-ahli tertanya apa yang harus mereka lakukan, kata beberapa ahli dan pemimpin Umno kepada The Malaysian Insight.
Perkara itu diakui Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub yang melihat kegagalan Zahid menjelaskan arah tuju parti antara punca Umno dilihat berpecah dua ketika ini.
“Kita masih tidak nampak usaha untuk memperbetulkan Umno. Zahid sejak menjadi presiden tidak menyatakan dengan jelas ke arah mana beliau hendak bawa Umno sehingga menimbulkan keresahan ahli di bawah.
Beliau bagaimanapun melihat Zahid mungkin mahu mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh daripada ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan perwakilan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 hujung September ini.
“Mungkin persoalan ini akan terjawab dalam PAU nanti. Kita bagi masa, mungkin Zahid akan bentang ketika itu.
“Saya yakin ucapan dasar beliau akan menyentuh garis panduan dan memberi peluang kepada perwakilan untuk berbahas dan berhujah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kerjasama Umno-PAS
Seorang pimpinan tertinggi sayap yang enggan dinamakan juga merasakan kegagalan pucuk pimpinan menetapkan hala tuju parti turut menjejaskan sayap-sayap Umno sehingga kini semacam tiada arah, lebih tiga bulan selepas parti kalah pilihan raya.
“Kita tidak pasti Umno hendak ke mana? Kerjasama dengan PAS macam mana, sesuai atau tidak? Dalam pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia bagaimana bentuk kerjasama?,” katanya, merujuk pada PRK 8 September ini.
“Perkara-perkara ini langsung tidak dijelaskan mahupun dibincang.”
Pimpinan sayap itu menambah, Umno kini dilihat sudah tidak dapat merasa denyut nadi rakyat kerana pemilihan parti yang baru lalu tidak mencerminkan kehendak rakyat apabila pemimpin-pemimpin yang tidak popular pada mata rakyat masih dipilih oleh perwakilan.
“Bukan kita tidak terima keputusan tetapi ia tidak mencerminkan apa yang rakyat mahukan. Rakyat melihat Umno tidak berubah.
“Kepimpinan yang telah dipilih perlu menunjukkan sebaliknya dengan perubahan yang akan dibuat. Tetapi sehingga hari ini tiada arahan jelas dari kepimpinan tertinggi,” jelasnya.
Lepas geram
Apa yang ternampak sebaliknya Umno kini bergerak seperti “melepaskan geram” dengan terus mengkritik kerajaan misalnya mengenai janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan, sedang Umno tidak membuat kajian atau mengatur strategi bagaimana kegagalan kerajaan itu boleh diolah untuk mendapatkan semula sokongan rakyat, kata pimpinan sayap itu.
Beliau lalu menyebut beberapa pemimpin Umno seperti Mustapa Mohamed, Mohamed Khaled Nordin dan Abd Rahman Dahlan yang dilihat berfikiran “fleksibel” yang boleh melihat semula agenda Umno yang boleh disokong oleh rakyat.
“Pandangan mereka lebih sesuai dengan keperluan rakyat tetapi malangnya suara mereka bukan suara kepimpinan utama.
“Sokongan teras (orang Melayu) semakin mengecil dan Umno kekal eksklusif. Tiada usaha untuk kita menarik sokongan majoriti yang lain. Umno kekal ke arah kanan yang ekstrem.
“Orang lama merasakan mereka berpengalaman. Kita bukan tolak tepi pengalaman orang lama tetapi orang lama atau orang muda tidak pernah alami kekalahan seperti ini,” ujarnya.
Pendekatan berbeza
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Johor, Nur Jazlan Mohamed menafikan Zahid tidak melakukan perubahan untuk Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-14, sebaliknya menegaskan pendekatan presiden baru itu amat berbeza dengan bekas-bekas presiden Umno sebelum ini.
Zahid sudah mengadakan banyak pertemuan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan masukan tentang hala tuju parti, dedah Nur Jazlan. Katanya juga perubahan itu akan mengambil masa sebelum dapat diterjemahkan untuk tindakan di peringkat akar umbi.
“Tidak seperti presiden sebelum ini, Zahid memberi banyak ruang kepada kepimpinan untuk terlibat dalam membuat keputusan termasuk bersemuka dengan akar umbi.

“Jika dahulu tiada mekanisme untuk soal jawab, semua keputusan dibuat oleh presiden, kita di bawah hanya menunggu arahan sahaja.
“Zahid tidak mahu ulangi kesilapan yang dilakukan oleh bekas-bekas presiden termasuk Dr Mahathir Mohamad dahulu,” katanya.
Menurut Jazlan, PAU bulan depan akan menjadi titik tolak hala tuju Umno yang baru apabila ucapan dasar Zahid yang pertama sebagai presiden akan dibahaskan oleh perwakilan sebelum perhimpunan membuat rumusan.
“Zahid akan bentang ucapan dasar dan perwakilan akan menyuarakan pandangan mereka. Dari situ baru kita akan dapat rumuskan hala tuju parti dengan jelas,” ujarnya. – 28 Ogos, 2018.
Komen