Pelajar Iran terlibat protes dihukum penjara 7 tahun


Parisa Rafei, pelajar jurusan seni di Universiti Tehran, disabitkan hukuman kerana terlibat dalam perhimpunan melawan pihak berkuasa negara Iran pada Disember tahun lepas. – Gambar fail EPA, 27 Ogos, 2018.

SEORANG pelajar berusia 21 tahun di Iran menerima hukuman penjara tujuh tahun kerana terlibat dalam protes universiti, kata peguamnya pada Isnin.

Parisa Rafei, pelajar jurusan seni di Universiti Tehran, disabitkan hukuman kerana terlibat dalam perhimpunan melawan pihak berkuasa negara dan mengganggu ketenteraman awam, lapor akhbar reformis Shargh.

Peguam Rafei, Saeed Khalili menerusi Twitter menyifatkan hukuman itu tidak adil dan tidak munasabah.

“Pada pandangan saya, tiada satu pun tuduhan ini logik atau mempunyai alasan yang cukup untuk menunjukkan dia melakukan jenayah,” Khalili dipetik sebagai berkata oleh akhbar Shargh.

“Semua tindakan ini (protes) tertakluk dalam hak yang termaktub dalam perlembagaan,” tambahnya.

Akhbar reformis Etemad melaporkan, seramai 45 rakan Rafei juga didakwa kerana terlibat secara langsung dalam tunjuk perasaan di Iran pada Disember lepas.

Akhbar itu berkata sekurang-kurangnya dua pelajar menerima hukuman lapan tahun dan kesemua kes berkaitan akan diselesaikan pada bulan depan. – AFP, 27 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen