Ketua tentera Myanmar perlu didakwa atas pembunuhan Rohingya, kata PBB


Pemimpin tentera Myanmar, termasuk Ketua Komander Jeneral Min Aung Hlaing, harus disiasat dan didakwa atas pembunuhan beramai-ramai di utara Rakhine, kata kumpulan misi pencarian fakta PBB. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2018.

PENYIASAT Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menyeru satu siasatan dan pendakwaan antarabangsa terhadap ketua tentera Myanmar dan lima komander tertinggi tentera atas pembunuhan beramai-ramai terhadap kumpulan etnik Rohingya.

“Pemimpin tentera Myanmar, termasuk Ketua Komander Jeneral Min Aung Hlaing, harus disiasat dan didakwa atas pembunuhan beramai-ramai di utara Rakhine, juga jenayah terhadap kemanusiaan serta jenayah perang di negeri Rakhine, Kachin dan Shan,” kata kumpulan misi pencarian fakta PBB.

Kira-kira 700,000 umat Islam Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke utara Bangladesh selepas Myanmar melancarkan tindakan keras terhadap pemberontak pada Ogos lepas.

Myanmar menafikan tuduhan pembersihan etnik dan menegaskan ia bertindak balas terhadap serangan pemberontak Rohingya.

Namun, dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, misi PBB itu menegaskan bahawa tentera secara konsisten dan sangat tidak adil terhadap ancaman keselamatan sebenar.

Misi yang diwujudkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mac 2017 itu dalam laporannya menyimpulkan bahawa terdapat maklumat yang cukup untuk menyiasat dan mendakwa pegawai kanan tentera Maynamar.

“Jenayah di negeri Rakhine, dan perbuatan mereka adalah serupa dengan orang-orang yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai  dilakukan dalam konteks berbeza,” menurut laporan itu.

Laporan turut mengkritik pemimpin Myanmar dan pemenang Anugerah Nobel Aung San Suu Kyi kerana gagal membela nasib minoriti itu.

“Laporan mendapati beliau tidak menggunakan kedudukannya sebagai ketua kerajaan mahupun pengaruhnya untuk mengekang atau membendung peristiwa yang berlaku.” – AFP, 27 Ogos, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen