KERAJAAN Libya yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin menuntut satu kerangka perundangan untuk pembaharuan ekonomi di negara itu bagi mengelak kemungkinan halangan, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan.
“Majlis Presiden Kerajaan Negara Perpaduan menekankan kepentingan kerangka perundangan bagi pembaharuan ekonomi dalam usaha mengelak isu atau cabaran perundangan yang mungkin menghalang pelaksanaannya,” menurut kenyataan itu.
Ekonomi Libya telah mengalami kekurangan kecairan di bank-bank dan penurunan drastik dalam kadar pertukaran mata wang tempatan berbanding mata wang asing.
Kerajaan turut menekankan kepentingan penyatuan institusi di negara itu yang berpecah-belah, terutama bank pusat, “bagi mewujudkan satu platform yang utuh untuk pelaksanaan program pembaharuan.”
Libya, yang kaya dengan minyak, secara politik telah terbahagi kepada dua kerajaan iaitu di timur dan barat, yang masing-masing memiliki bank pusat sendiri. – Bernama, 27 Ogos, 2018.
Komen