Seoul perkenal sistem kesan kanak-kanak tertinggal dalam bas sekolah


Kerajaan Seoul merancang memperluaskan sistem itu kepada 58 lagi sekolah rendah kerajaan pada tahun depan membabitkan kos kira-kira 4.09 bilion won (AS$3.67 juta). – Gambar EPA, 27 Ogos, 2018.

KERAJAAN metropolitan Seoul bakal memperkenalkan peraturan keselamatan baharu mulai bulan ini, bertujuan mengelakkan kejadian kanak-kanak maut atau mengalami kecederaan kerana ditinggalkan bersendirian dalam bas sekolah, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Dikenali dengan sistem ‘Sleeping Child Check’, ia akan dipasang pada 53 buah bas di sekolah rendah, pemandu bas sekolah akan dipaksa memeriksa hingga ke bahagian belakang bas bagi memastikan semua penumpang sudah turun.

Menggunakan teknologi komunikasi jarak dekat (NFC), pemandu perlu membuat pengesahan menggunakan telefon pintar di tiga terminal yang dipasang pada tempat duduk bahagian hadapan, tengah dan belakang bas. 

Maklumat yang telah disahkan akan dihantar kepada ibu bapa dan pentadbir sekolah. Sekiranya pemandu gagal membuat pengesahan, ia akan dimaklumkan menerusi sistem penggera di telefon pintar pemandu, ibu bapa dan pentadbir. 

Kerajaan metropolitan merancang memperluaskan sistem itu kepada 58 lagi sekolah rendah kerajaan pada tahun depan membabitkan kos kira-kira 4.09 bilion won (AS$3.67 juta).

Langkah itu berikutan insiden seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut pada Julai lalu, selepas ditinggalkan dalam bas di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Dongducheon, utara Seoul. – Bernama, 27 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen