Hujan lebat, litar licin, perlumbaan MotoGP British dibatalkan


Perlumbaan MotoGP British di Litar Silverstone dibatalkan susulan hujan lebat selepas kelas sokongan berakhir semalam. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2018.

HUJAN lebat memaksa perlumbaan MotoGP di Litar Silverstone dibatalkan.

Selepas pelumba MotoGP memanaskan badan dan jentera dalam keadaan litar kering, hujan mulai turun selepas kelas sokongan berakhir dan menjadi lebat selepas pelumba kelas premier masuk ke grid. 

Terdahulu satu mesyuarat antara penganjur perlumbaan, Dorna, Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan pelumba MotoGP diadakan bagi membuat keputusan mengenai perlumbaan semalam.

“Kami berjumpa dan berbincang mengenai keadaan itu. Kami sudah membuat keputusan awal untuk perlumbaan ditangguhkan tetapi keadaan litar tidak bertambah baik biarpun hujan sudah reda, litar masih terlalu basah. Keselamatan masih menjadi keutamaan kami.

“Keadaan litar masih lagi basah. Kami membincangkan pelbagai pilihan termasuk mengadakan perlumbaan esok tetapi ia mustahil,” kata Pengarah Perlumbaan MotoGP Mike Webb pada satu sidang media.

Permulaan Grand Prix British ditangguhkan kerana cuaca buruk di litar.

Dengan hujan lebat sepanjang hujung minggu, perlumbaan sudah diawalkan dari waktu perlumbaan asal dari 1 tengah hari kepada 11.30 pagi dalam usaha untuk menghadapi keadaan cuaca tetapi hujan berterusan, memaksa pegawai menangguhkan masa perlumbaan atas sebab keselamatan.

Sementara itu pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Monster Yamaha Tech 3 berkata beliau menerima keputusan yang dibuat.

“Daripada sudut teknikal, komisar keselamatan memuktamadkan yang perlumbaan itu dibatalkan kerana keselamatan trek yang tak selamat dan keadaan cuaca tidak baik.

“Sesi kelayakan saya juga kurang baik. Untuk pusingan seterusnya saya mahu meningkatkan cengkaman dan sudut teknikal jentera,” katanya. – Bernama, 27 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen