SEKURANG-KURANGNYA empat terbunuh, termasuk seorang suspek dalam insiden tembakan rambang di pertandingan permainan video di Jacksonville, utara bandar Florida hari ini, kata polis.
Ketua Serif Jacksonville, Serif Mike Williams mengesahkan ada mangsa yang terbunuh dan cedera dalam insiden tembakan yang berlaku ketika pertandingan permainan video Madden 19 American football eSport sedang berlangsung.
Salah seorang mangsa terbunuh dikenal pasti sebagai suspek yang dipercayai bertindak sendirian.
“Kami tiada suspek lain kecuali seorang dalam kes ini dan dia turut terbunuh di tempat kejadian,” katanya.
Williams berkata tembakan berlaku di dalam sebuah restoran di kompleks hiburan dan beli-belah The Landing.
Menurut LA Times yang memetik kenyataan seorang peserta profesional Noble eSport, Steven Javaruski sebagai berkata penembak itu seorang peserta yang turut bertanding dan tewas.
Setiausaha akhbar White House, Sarah Sanders mengesahkan Presiden Donald Trump sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. – AFP, 27 Ogos, 2018.
Komen