PEGAWAI tinggi tentera Iran bertemu rakan sejawat Syrianya di Damsyik pada Ahad, menggambarkan hubungan kukuh antara mereka dan berikrar memainkan peranan dalam pembinaan semula negara yang sedang berperang itu.
Tehran secara berterusan memberikan sokongan politik, kewangan dan ketenteraan kepada Presiden Syria Bashar al-Assad yang sedang berkonflik dengan pemberontak negara itu sejak tujuh tahun lalu.
Pada Ahad, Menteri Pertahanan Iran Amir Hatami tiba di Syria untuk lawatan kerja dua hari dan bertemu dengan rakan sejawatnya, Abdullah Ayoub.
“Syria dalam persimpangan yang sangat, sangat penting. Ia sedang melepasi peringkat kritikal dan sedang memasuki peringkat pembinaan semula yang penting,” kata Hatami dipetik media Iran, Irib.
Katanya, beliau sudah bersetuju dengan Syria yang Iran akan “hadir, terlibat dan membantu” dalam pembinaan semula negara “dan tiada pihak ketiga akan mempengaruhi perkara itu.”
Sejak peperangan tercetus pada 2011, ia dianggar menelan belanja sebanyak AS$388 bilion, menurut data Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi PBB untuk Asia Barat (Escwa).
Bulan lepas, Assad berkata pembinaan semula itu adalah “keutamaan paling mustahak” di Syria, di mana lebih daripada 350,000 terbunuh dan berjuta lagi menjadi pelarian.
Menurut Al-Watan, akhbar Syria pro kerajaan, Hatami tiba melawat Syria bersama delegasi tentera Iran dan dijangka mengadakan pertemuan dengan Assad. – AFP, 26 Ogos, 2018.
Komen