18,500 penduduk Jerman dipindahkan angkara bom Perang Dunia Kedua


Bom peninggalan Perang Dunia Kedua seberat 500 kilogram yang ditemukan di bandar Ludwigshafen, Jerman. – Gambar Twitter Pihak Berkuasa Ludwigshafen , 25 Ogos, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 18,500 penduduk di bandar Ludwigshafen, Jerman terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kepada pasukan pemusnah bom mematikan sebutir bom Perang Dunia Kedua yang ditemui di bandar itu.

Bom seberat 500 kilogram itu yang dipercayai digugurkan oleh tentera Amerika Syarikat, ditemukan di satu lokasi pembinaan pada awal minggu ini.

“Berita baik: bom telah dimatikan! Penduduk boleh pulang ke rumah masing-masing,” kata pihak berkuasa tempatan Ludwigshafen menerusi satu kenyataan dalam Twitter.

Ia turut menyiarkan gambar bom tersebut yang diliputi tanah dan diusung keluar dari lokasi tersebut.

Pihak berkuasa mengarahkan penduduk yang tinggal dalam lingkungan satu kilometer radius dari lokasi bom agar meninggalkan rumah mereka pada awal pagi sebagai langkah berjaga-jaga untuk mematikan bahan letupan itu.

Pasukan pemusnah bom mengambil masa sejam untuk mematikan senjata tersebut sebelum arahan membenarkan penduduk pulang dikeluarkan pukul 2 petang waktu tempatan. – AFP, 26 Ogos, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen