SEORANG ketua militan Daesh di Afghanistan dilapor terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan ke atas kumpulan ekstremis itu sepanjang minggu lalu.
Agensi perisikan Afghanistan berkata Saad Arhabi terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan di kubu kuat militan itu di wilayah Nangarhar bersempadan dengan Pakistan pada lewat semalam.
Turut terbunuh 10 lagi anggota militan Daesh yang mengiringi Saad, kata agensi itu.
Saad merupakan pemimpin keempat militan Daesh Afghanistan yang dibunuh sejak kumpulan itu menyusup negara tersebut pada 2014.
Agensi perisikan itu berkata sejumlah besar senjata, peluru dan bahan letupan turut dimusnahkan dalam serangan udara tersebut.
Jurucakap wilayah Nangarhar Attaullah Khogyani mengesahkan kematian pemimpin militan itu susulan serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Afghanistan dengan bantuan Amerika Syarikat (AS).
Pasukan tentera AS di Afghanistan turut mengesahkan mereka melancarkan serangan udara di lokasi yang dilabel sebagai sasaran utama pemimpin kumpulan pengganas.
Militan Daesh mempunyai pergerakan kecil di Afghanistan dan berkubu di Nangarhar tetapi sejak kebelakangan ini sering dilihat muncul di wilayah Jowzjan.
Jumlah anggota kumpulan itu dianggarkan seramai 2,000 orang dan pada 1 Ogos lalu, kira-kira 150 militan Daesh menyerah diri kepada tentera Afghanistan di Jowzjan selepas diasak oleh pasukan keselamatan menerusi serangan udara. – AFP, 26 Ogos, 2018.
Komen