Anwar mahu ketidakadilan kes liwatnya dibetulkan


SM Amin

Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran buku Anwar Returns: The Final Twist. The Prosecution and Release of Anwar Ibrahim” di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Ogos, 2018.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim mahu hakim-hakim yang terlibat dalam perbicaraan kes liwat kedua beliau sebelum ini memperbetulkan ketidakadilan yang berlaku dalam kes tersebut.

Anwar mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa RM9.5 juta telah dibayar kepada peguam Muhammad Shafee Abdullah sebagai khidmatnya mendakwa bekas pemimpin pembangkang itu dalam kes liwatnya yang kedua.

“Saya tidak bermaksud untuk mengambil tindakan terhadap hakim-hakim yang lalu. Mudah-mudahan mereka boleh tidur lena sekarang. 

“Tetapi kezaliman, ketidakadilan harus diperbetulkan. Kita telah buat permohonan melalui kes Shafee Abdullah yang menerima RM9.5 juta. 

“Saya harap mahkamah tidak cuai dan melengah-lengahkan kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis pelancaran buku “Anwar Return: The Final Twist” di Hotel Hilton Kuala Lumpur hari ini. 

Shafee dilantik oleh Peguam Negara Abdul Gani Patail ketika itu untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya tampil sebagai pendakwa raya utama dalam kes itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Anwar kemudian membuat permohonan untuk mengketepikan sabitan kes liwat keduanya itu berikutan dakwaan mantan perdana menteri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada Shafee untuk khidmatnya itu.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi Azizah Nawawi membenarkan kerajaan membatalkan tuntutan itu atas dasar dakwaan berkenaan pembayaran RM9.5 juta itu hanyalah “dakwaan kosong”.

“Beliau masih belum memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya,” katanya dalam penghakimannya dan memerintah Anwar supaya membayar kerajaan kos sebanyak RM10,000.

Semasa pembicaraan, peguam Anwar berhujah keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 untuk menyabitnya bersalah kerana meliwat Saiful Bukhari Azlan dilakukan dengan cara yang tidak berperlembagaan.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 dan peguam berhujah Anwar dinafikan pembicaraan yang adil bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga dihujahkan bahawa perbicaraan adil sepatutnya bermaksud hak untuk mendakwa harus dilakukan oleh seorang yang bebas, bukannya oleh seseorang yang mempunyai kepentingan peribadi. –  26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen