Mnangagwa angkat sumpah sebagai presiden baharu Zimbabwe


Emmerson Mnangagwa mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Zimbabwe. – Gambar AFP, 26 Ogos, 2018.

EMMERSON MNANGAGWA hari ini secara rasmi mengangkat sumpah sebagai presiden Zimbabwe selepas memenangi pilihan raya yang kali pertama diadakan selepas Robert Mugabe digulingkan.

“Saya Emmerson Dambudzo Mnangagwa bersumpah sebagai presiden republik Zimbabwe, akan setia dan mematuhi, menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Zimbabwe,” kata Mnangagwa di hadapan ribuan penyokong yang berhimpun di sebuah stadium di Harare.

“Saya akan melindungi dan memperjuangkan hak rakyat Zimbabwe dengan izin Tuhan.”

Ini merupakan kali kedua Mnangagwa mengangkat sumpah dalam tempoh sembilan bulan selepas kejatuhan Mugabe yang telah memerintah negara itu selama 37 tahun.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai ketua negara sejak Mugabe melepaskan kedudukannya.

Kemenangan Mnangagwa dalam pilihan raya sebelum ini dicabar oleh pemimpin pembangkang, Nelson Chamisa yang mendakwa kejayaan pesaingnya itu sebagai tidak sah dan membawa kes tersebut ke mahkamah.

Bagaimanapun mahkamah memutuskan bahawa keputusan pilihan raya tersebut sebagai sah dan Mnangagwa layak untuk diangkat sebagai presiden. – AFP, 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen