Parlimen Iran jatuhkan pendakwaan terhadap menteri ekonomi


Presiden Iran Hassan Rouhani (tengah) duduk bersebelahan Menteri Ekonomi Masoud Karbasian (kiri) pada sesi mesyuarat bersama Kementerian Ekonomi pada 8 Januari lalu. – Gambar AFP, 26 Ogos, 2018.

PARLIMEN Iran menjatuhkan pendakwaan terhadap Menteri Ekonomi Masoud Karbasian ketika republik itu berdepan tekanan krisis ekonomi yang semakin memuncak.

Karbasian tewas dalam sesi undian tidak percaya apabila hanya 121 undian memihak kepada beliau berbanding 137 menentangnya.

Beliau merupakan menteri kedua di bawah Kabinet Presiden Hassan Rouhani yang berdepan pendakwaan pada bulan ini selepas Menteri Buruh Ali Rabiei dipecat pada 8 Ogos lalu.

Iran bergelut untuk mengatasi kenaikan inflasi dan masalah pengangguran sejak beberapa tahun lalu walaupun menunjukkan peningkatan ekonomi susulan perjanjian nuklear pada 2015 dengan kuasa besar dunia.

Perjanjian itu menyaksikan beberapa sekatan antarabangsa ditarik semula dan membolehkan kemasukan pelabur asing.

Pengkritik menyifatkan kerajaan Iran gagal memanfaatkan peluang daripada perjanjian itu dan keadaan bertambah buruk apabila Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian itu serta mengenakan semula sekatan.

“Perancangan yang kurang berkesan tidak ada kena mengena dengan sekatan tersebut,” kata seorang ahli Parlimen Abbas Payizadeh.

“Keputusan yang salah menyebabkan rakyat menderita dan segelintir pihak mula menjarah aset negara,” katanya. – AFP, 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen