JUMLAH kematian dalam banjir besar di Kerala, selatan India meningkat kepada 445 orang pada Ahad selepas penemuan 28 mayat lagi, kata pegawai kerajaan.
Hampir sejuta orang bersesak dalam pusat perlindungan yang sesak dan 15 orang lagi masih dilaporkan hilang ketika kerajaan sibuk menjalankan operasi membersihkan rumah dan kawasan awam yang dipenuhi debu dan pasir kerana banjir.
Ketua Menteri Kerala Pinarayi Vijayan menerusi Twitter berkata lebih daripada 130,000 rumah dilanda banjir sudah dibersihkan, atau satu pertiga daripada jumlah keseluruhan rumah dilanda bencana itu.
Pihak berkuasa juga dalam usaha mengembalikan semula bekalan tenaga elektrik.
Penduduk yang kembali ke rumah masing-masing diberi amaran supaya berhati-hati dengan kehadiran ular yang ditinggalkan arus banjir. Pihak berkuasa dan pakar hidupan liar membentuk pasukan untuk membantu mereka yang menemui ular dalam rumah mereka, lapor media tempatan.
Dengan jumlah kematian meningkat saban hari, pihak berkuasa Kerala berkata “proses sedang dijalankan bagi memastikan semua kematian adalah disebabkan banjir”.
Kerajaan berkata lebih daripada 10,000 kilometer jalan raya musnah atau rosak, dan 50,000 rumah pula musnah dalam banjir besar itu. – AFP, 26 Ogos, 2018.
Komen